Peruntukan Ahli Parlimen: Mana janji berlaku adil, tanya MCA

Wee mempersoalkan sama ada rakyat yang mengundi BN dianggap tidak bayar cukai atau hanya bayar separuh cukai, susulan peruntukan lebih kecil untuk wakil rakyat pembangkang.

PETALING JAYA: MCA mempersoalkan janji Pakatan Harapan (PH) untuk berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen selepas menerima peruntukan yang berbeza dengan Ahli Parlimen kerajaan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak sampai pun 50% daripada yang diterima Ahli Parlimen kerajaan.

“Dengan hujah dan nada yang sama, kita ingin tanya balik Ahli Parlimen PH, terutamanya daripada DAP, yang semasa berkempen dulu berjanji untuk berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen.

“Rakyat di Ayer Hitam, Cameron Highlands, Kota Bharu, Mersing dan lain-lain kawasan tak bayar cukai ke? Atau pun bayar cukai separuh saja?” katanya kepada FMT.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan menyalurkan RM100,000 kepada Ahli Parlimen daripada parti lawan untuk kegunaan sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing.

Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri kali ke-3.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang disalurkan itu tidak sama dengan jumlah peruntukan untuk Ahli Parlimen kerajaan.

Katanya Ahli Parlimen kerajaan akan menerima RM500,000 dan peruntukan itu akan disalurkan sebelum Aidilfitri.

Wee yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam, bagaimanapun mengakui keputusan kerajaan PH memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah dialu-alukan memandangkan ia tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.