Putrajaya arah hentikan audit beban guru

Maszlee Malik berkata, SKPMg2 dihentikan kerana proses audit bagi pengesahan data program itu menimbulkan banyak salah faham dan kegelisahan dalam kalangan guru.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menghentikan siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) serta-merta kerana timbul salah faham dan keluhan guru.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bagaimanapun berkata, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) akan meneruskan sesi bimbingan dan latihan untuk menambah baik pengurusan sekolah.

Beliau berkata, SKPMg2 yang pada mulanya dilaksanakan untuk memastikan transformasi pendidikan negara berterusan sejajar keperluan global, dihentikan kerana proses audit bagi pengesahan data program itu menimbulkan banyak salah faham dan kegelisahan guru.

Katanya, beliau menerima pelbagai rayuan dan rintihan guru, termasuk ada yang menangis ketika menghubunginya, selain keluhan melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Kita ada hadiah Aidilfitri untuk para guru, tapi ini bukan duit, iaitu siri audit SKPMg2 yang mana telah jadi topik perbincangan hangat, dihentikan.

“Saya mahu bebanan tugas guru dikurangkan agar mereka boleh memberi tumpuan lebih kepada usaha mendidik murid, terutamanya dalam membentuk sahsiah dan tahap keilmuan mereka,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

SKPMg2 yang mula dilaksanakan pada Mac 2017 ialah instrumen penilaian kendiri sekolah yang juga menjadi panduan pengurusan sekolah merangkumi bidang kepimpinan dan pengurusan, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid serta pembelajaran dan pengajaran.

Khamis lalu, Kementerian Pendidikan meminta pihak sekolah tidak lagi membebankan guru dengan penyediaan dokumen berkaitan SKPMg2 bagi 2017.

Katanya, audit SKPMg2 yang dilaksanakan JNJK menimbulkan kekeliruan bagi pihak sekolah kerana mereka tidak jelas berkaitan dokumen yang perlu dibawa untuk diaudit.

Baru-baru ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu Maszlee membantu menyelesaikan isu itu yang membebankan guru kerana keperluan menyiapkan dokumen SKPMg2 itu menyusahkan dan membuang masa mereka.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementeriannya melalui kolej komuniti bercadang memberi latihan kemahiran kepada pelajar pusat tahfiz swasta, termasuk dalam bidang industri, perniagaan dan pembuatan.

Katanya, ia bertujuan mengembangkan potensi pelajar tahfiz daripada terhad kepada imam atau ustaz semata-mata.

“Ada (pusat tahfiz swasta) yang berdaftar dengan kerajaan negeri dan jabatan agama dan sebagainya, tetapi tidak ada institusi swasta didaftar di bawah kementerian.

“Kita yakin mereka (pelajar tahfiz) mempunyai potensi seperti menjadi usahawan dan peniaga dan kami tawarkan melalui kolej komuniti yang mempunyai pelbagai kursus untuk beri latihan kepada mereka, kalau mereka sudi.

“Ada beberapa sekolah tahfiz yang mahu pelajar mereka dilatih di kolej komuniti.”