UM cipta sejarah jadi universiti 100 terbaik dunia

Maszlee Malik berkata, UM juga merupakan universiti ke-22 terbaik di rantau Asia.

PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai 100 universiti terbaik di dunia dalam QS World University Rankings, kata menteri pendidikan.

Maszlee Malik berkata, UM kini berada di tangga ke-87 dalam senarai universiti terbaik di dunia berbanding tangga ke-114 tahun lalu.

“Kita harap UM boleh letak sasaran baru selepas ini seperti 50 terbaik di dunia pada tahun depan. Namun, kita tak paksa (mereka) capai sasaran itu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan hari ini.

Beliau berkata, UM juga menduduki tangga ke-22 di rantau Asia.

Selain UM, katanya, 4 lagi universiti awam tempatan turut menunjukkan peningkatan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia di tangga ke-184, Universiti Putra Malaysia (202), Universiti Sains Malaysia (207) dan Universiti Teknologi Malaysia (228).

“USM mencapai peningkatan tertinggi sebanyak 57 tangga.

“Kejayaan ini memberi indikasi institusi pendidikan tinggi di Malaysia berjaya menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan positif menuju Revolusi Industri 4.0.

“Ini memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding negara jiran sebagai hub pendidikan tinggi dan seterusnya menjadi destinasi pilihan untuk melanjutkan pelajaran bagi pelajar antarabangsa.”

Katanya, Universiti UCSI yang berada di tangga ke-481 ialah satu-satunya universiti swasta tempatan yang berada dalam kedudukan 500 teratas.

Manakala Universiti Teknologi Petronas, Universiti Taylor, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Mara serta Universiti Multimedia di Cyberjaya berada dalam kedudukan 521 hingga 1,000 teratas.