Wan Azizah: Ambil ibu berkelayakan sebagai CEO

Dr Wan Azizah berkata menyeru lebih banyak majikan mengambil wanita-wanita ini bekerja dan menggunakan kepakaran mereka. (Gambar Twitter)

PUTRAJAYA: Majikan perlu mempertimbangkan untuk mengambil pekerja wanita yang layak, yang meninggalkan kerjaya untuk membesarkan anak mereka, menjawat jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata mereka ini biasanya mengalami ”sindrom sarang kosong” apabila anak mereka dewasa, kini bersedia untuk kembali bekerja.

“Kami mempunyai Program Kembali Berkerjaya bawah TalentCorp dan kami memerlukan lebih banyak majikan yang mahu mengambil wanita-wanita ini bekerja dan menggunakan kepakaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan kunjungan hormat ke atasnya oleh Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom (UK) ke Malaysia Vicki Treadell di sini pada Isnin (4 Jun).

Mengenai pertemuan dengan Treadell, Dr Wan Azizah berkata UK dan Malaysia berkongsi hubungan yang rapat.

Treadell dalam kenyataan sama berkata UK berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai isu termasuk wanita, kanak-kanak, pendidikan dan pembinaan keupayaan.

“Satu bidang yang anda (Malaysia) benar-benar bagus adalah dalam bidang sains dan kami ingin bekerjasama dalam bidang ini,” kata Treadell.

Katanya bidang lain yang kedua-dua negara boleh bekerjasama termasuk pendidikan dan pembinaan keupayaan.

“Kami bersedia untuk terus bekerjasama dalam bidang yang biasa dibuat bersama jika ia adalah satu perkara tepat untuk dilakukan atau jika ada bidang baru, kami juga bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Mengulas mengenai pilihan raya umum ke-14, Treadell berkata perubahan sudah pun dapat dilihat di negara ini di bawah kerajaan baharu.

“Ini adalah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. Dunia telah melihat dan nampak Malaysia. Malaysia adalah contoh kepada proses demokrasi. Proses demokrasi adalah pemenang dalam semua ini,” kata Dr Wan Azizah.

United Kingdom adalah rakan perdagangan ke-17 terbesar di dunia dan rakan perdagangan ketiga terbesar dalam Kesatuan Eropah.

Jumlah perdagangan UK meningkat 7.1% kepada RM16.38 bilion pada 2017 berbanding 2016. Eksport Malaysia ke UK juga meningkat 10% kepada RM9.65 bilion dan import meningkat 2.7% kepada RM6.73 bilion pada 2017.