Apakah beza antara SPAD dengan APAD, tanya Syed Hamid

Syed Hamid berkata kerajaan tidak perlu membubarkan SPAD sebelum ini untuk kemudiannnya menubuhkan sebuah organisasi baru sedangkan tujuannya masih sama. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mempersoalkan penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini bagi menggantikan suruhanjaya yang diketuainya sebelum itu.

Menurutnya, mengapa kerajaan perlu membubarkan SPAD sebelum ini dan kemudiannnya menubuhkan sebuah organisasi baru sedangkan tujuannya masih sama.

“Orang ramai membuat lawak mengenai perkara itu. Bagi saya jika niatnya sama, mereka (Kementerian Pengangkutan) seharusnya kekalkan SPAD tetapi hanya meletakkannya di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Rabu lepas, Kementerian Pengangkutan mengumumkan penubuhan sebuah agensi baru iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berperanan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, agensi bertaraf jabatan itu akan diketuai seorang Ketua Pengarah untuk merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat, khususnya berkaitan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), pengangkutan rel dan sistem bas.

Katanya, sebelum ini SPAD yang dibubarkan turut berperanan dari segi perancangan dan pembangunan sektor pengangkutan awam darat, dan peranan itu akan dikekalkan di bawah APAD.

Beliau dilaporkan berkata penstrukturan semula yang dijalankan itu bertujuan mengelakkan pertindihan fungsi penguatkuasaan berkaitan pengangkutan darat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberi kuasa menguatkuasakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Syed Hamid dalam masa yang sama berkata beliau tidak memahami tujuan penubuhan APAD kerana SPAD yang dibubarkan sebelum ini juga bertanggungjawab dalam perancangan pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

“Bagi saya sedikit ganjil. Telah ada organisasi yang wujud untuk tujuan itu dan anda membuat keputusan ubah daripada SPAD kepada APAD,” katanya.

Menurut Syed Hamid, kerajaan juga perlu menerangkan perbezaan antara SPAD dan APAD.

“Saya berharap ia (APAD) tidak akan mengurangkan keberkesanan strategi dan perancangan pengangkutan awam darat,” katanya.