Dr M dedah penjawat awam pegang 68 jawatan dalam syarikat berbeza

Dr Mahathir berbincang sesuatu dengan Abu Kassim Mohamed dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra, hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan ada di kalangan pegawai kerajaan yang memegang sehingga 68 jawatan dalam pelbagai syarikat.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata, kerajaan melarang penjawat awam memegang lebih 5 jawatan dalam syarikat berbeza bagi mengelakkan penyelewengan dalam pemberian kontrak.

“Kadang-kadang seseorang pegawai memegang sehingga 68 jawatan dalam pelbagai syarikat dan ini juga akan dikurangkan mengikut keperluan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di Perdana Putra, hari ini.

“Kita tidak akan beri lebih daripada 5 (jawatan) dan kita tak galak ada pegawai memegang 2 atau 3 jawatan, sepatutnya 1 jawatan sahaja, tapi kita tak dapat elak sesetengah pegawai yang perlu pegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”

Dr Mahathir berkata demikian selepas mengumumkan bekas bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menerajui Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah (GIACC) yang baru ditubuhkan.

“Abu Kassim mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini termasuk di peringkat antarabangsa.”

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik wajib mengisytiharkan harta mereka untuk disampaikan kepada agensi berkaitan pencegahan rasuah.

“Perdana menteri tak boleh sorok rasuah yang dilakukan pegawai atau anggota pentadbiran, banyak tindakan akan diambil supaya tidak jejaskan pentadbiran negara.”

Katanya, pegawai kerajaan juga dilarang menerima sebarang hadiah, kecuali bunga, makanan dan buah-buahan.

“Kita tolak semua kereta dan sebagainya, itu diputuskan termasuklah pegawai tinggi kerajaan tidak dibenarkan terima sebarang hadiah. Sesiapa yang terima hadiah, bukan sahaja penerima yang salah, orang yang beri hadiah juga bersalah.”