Kementerian tubuh pasukan kaji pembelian produk farmaseutikal

Dzulkely berkata kementerian sedang mengkaji isu berbangkit dalam usaha memastikan ketelusan dan penjimatan kos dalam perolehan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini berkata satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengkaji amalan perolehan susulan maklum balas daripada orang ramai.

Beliau berkata kementerian sedang mengkaji keseluruhan rantaian bekalan meliputi ekonomi, permintaan dan penawaran dalam usaha memastikan ketelusan, penjimatan kos dan keberkesanan ketersediaan bekalan.

“Mekanisme yang lebih kompetitif, adil dan saksama bagi semua pembekal dan pengeluar perlu dirancang bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit khususnya dan rakyat amnya. Mekanisme ini juga untuk memastikan ubat-ubatan yang lebih murah untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly menjawab isu yang ditimbulkan dalam laporan FMT bertarikh 6 Jun bertajuk “Badan pemikir gesa kerajaan kaji peranan Pharmaniaga”.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menyeru kementerian mengkali semula peranan Pharmaniaga dalam sistem penjagaan kesihatan awam, dan berkata syarikat milik kerajaan itu pada dasarnya bertindak sebagai orang tengah.

“Pharmaniaga ialah pemegang konsesi tunggal untuk membeli, menyimpan, membekal dan mengedarkan ubat-ubatan berjenama serta generik yang diluluskan ke 148 hospital kerajaan dan 2,871 klinik serta pejabat kesihatan daerah di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib.

“Sudah sampai masanya kementerian berurusan terus dengan syarikat farmaseutikal, bukannya bergantung kepada orang tengah,” katanya sambil menambah ini dapat menjimat berjuta ringgit.

Pharmaniaga mempunyai perjanjian konsesi 10 tahun yang tamat tahun ini.

Dzulkefly berkata pada 2017, perbelanjaan KKM untuk ubat-ubatan dan barangan habis guna (consumable) kira-kira RM3.3 bilion. Lebih kurang 33.4% (RM1.1 bilion) daripada perbelanjaan kesihatan KKM dari syarikat konsesi, manakala 66.6% (RM2.2 bilion) merupakan perolehan yang dilakukan oleh fasiliti berkaitan melalui kontrak agensi pusat atau sebut harga.

Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan Pharmaniaga bertindak sebagai monopoli atau pemegang konsesi tunggal kerana terdapat juga vendor lain yang membekalkan secara langsung kepada semua fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata sumber luar dalam memperolehi produk farmaseutikal dilakukan melalui proses tender, yang merangkumi spesifikasi produk dan teknikal yang diuruskan Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal dan proses pemilihan produk oleh lembaga perolehan.

“Hasil daripada proses tender, 89 pembekal lain telah dipilih pada tahun 2017. Peranan Pharmaniaga dalam proses tender adalah terhad kepada menguruskan iklan untuk proses pembidaan,” katanya.

Beliau menambah perjanjian konsesi merangkumi piawaian prestasi memantau bekalan dan penghantaran, kualiti produk dan keperluan stok penampan, dan memastikan ubat yang dipesan oleh kemudahan kesihatan awam mesti dihantar dalam masa 7 hari bekerja, termasuk ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

“Namun demikian, sebahagian besar pembekalan ubatan melalui mekanisme rundingan terus terbuka berdasarkan perjanjian konsesi Pharmaniaga dan konsesi lain yang seumpamanya untuk perkhidmatan kesihatan hospital telah menyebabkan ia menjadi satu isu yang menarik perhatian umum.

“Di bawah mandat baharu yang diberikan oleh rakyat, KKM di bawah kerajaan baharu komited untuk menjadi lebih telus dalam pemberian kontrak-kontrak berkenaan, serta berlaku adil kepada semua pembekal dalam pasaran yang kompetitif,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/06/badan-pemikir-gesa-kerajaan-kaji-peranan-pharmaniaga/