Pakar: Hubungi Beijing sebelum ‘dedah’ kontrak diragui

Tidak rugi sekiranya kerajaan bertindak menenangkan rakyat di sini dan orang di China, ia hanya menjalankan tugasnya, bukannya untuk mempolitikkan hubungan dengan negara lain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin Malaysia diingatkan tidak bertindak berlebihan ketika mendedahkan perjanjian diragui melibatkan syarikat milik negara asing.

Pakar pengajian China, Ngeow Chow Bing dari Universiti Malaya berkata, kerajaan setakat ini cukup berhati-hati dalam menangani pendedahan melibatkan syarikat milik kerajaan China.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan hendaklah menegaskan sebarang perjanjian “bermasalah’ yang diteliti mungkin berpunca daripada perbuatan kerajaan sebelum ini.

Katanya, kerajaan baru hendaklah memberitahu Beijing terlebih dahulu sebelum mendedahkan perjanjian yang kelihatan berat sebelah.

“Tidak rugi untuk menenangkan rakyat di sini dan orang di China yang kerajaan baru hanya menjalankan tugasnya, bukannya cuba mempolitikkan hubungan dengan negara lain, katanya kepada FMT.

“Asalkan kita tidak bertindak keterlaluan dan berpegang kepada fakta yang kita ada, tidak ada masalah.”

Selasa lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mempersoalkan kontrak perundingan dan penyelenggaraan yang diberikan kepada sebuah syarikat milik kerajaan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) kepada Biro Saluran Paip Petroleum China, untuk projek saluran paip gas dan minyak di Semenanjung Malaysia dan Sabah yang bernilai RM9.4 bilion.

Kenyataannya mendapat respons bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menasihatkan Lim berhati-hati dalam membuat dakwaan “serius bermotif politik” secara terbuka melibatkan syarikat milik negara asing yang boleh menjejaskan hubungan dua hala dan perdagangan antarabangsa.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Lim dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke China untuk berunding dengan pihak terlibat dalam projek saluran paip itu.

Ngeow berkata, perjanjian yang tidak menguntungkan Malaysia tidak semestinya bermakna China atau agensi miliknya bersubahat dalam salah laku yang mungkin berlaku.

Katanya, kontrak itu mungkin dipersetujui berdasarkan penilaian ke atas perjanjian itu dan sama ada ia bermanfaat kepada negara tersebut.

“Jika kita maklumkan lebih awal kepada China dan memberi ruang kepadanya untuk berunding semula, kita ada peluang lebih baik untuk memperbaiki ketidakseimbangan yang berlaku dan mereka juga tidak mahu dilihat bersubahat dalam apa jua bentuk korupsi.

“Kita tidak perlu mendapat persetujuan mereka untuk mendedahkan maklumat terperinci perjanjian itu, tetapi saya fikir China akan menghargainya jika kita berbuat demikian.”

Katanya, Malaysia perlu memperbanyakkan interaksi dengan China bagi mengelakkan spekulasi sentimen anti-China.

“Daripada maklumat awam, kelihatan satu-satunya pertemuan China dan Malaysia ialah selepas pilihan raya apabila duta besar negara itu mengunjungi Dr Mahathir.

“Masih terlalu awal, tetapi menghantar delegasi ke China untuk membincangkan isu berbangkit dan perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan sebelum ini boleh membantu mengekalkan hubungan baik sedia ada dengan China.”

Bayar syarikat dikaitkan Jho Low RM8.3 bilion, hanya 13% kerja selesai

Guan Eng perlu lebih berhati-hati, pesan Najib