Tak tolak raja, hanya jaga kemuliaan institusi, kata Dr M

Dr Mahathir berkata raja tidak seharusnya terlibat dengan benda-benda yang tidak disukai rakyat. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dia tidak menolak raja-raja Melayu dan semua tindakan sebelum ini untuk menjaga kemuliaan institusi itu.

Dr Mahathir menjelaskan langkah seperti menghapuskan kekebalan raja-raja dan penubuhan mahkamah khas kerana tidak mahu melihat raja-raja Melayu melakukan perkara yang mengundang kemarahan rakyat.

“Raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat tiada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Jangan jadi macam ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berpendirian raja-raja Melayu juga perlu mematuhi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti semua orang.

Dr Mahathir berkata kerajaan perlu campur tangan untuk menyelamatkan institusi itu jika raja-raja Melayu didapati melakukan kesalahan.

“Kita kena elak raja dengan kebesarannya itu supaya tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan iaitu menyelamatkan raja,” katanya.

Ditanya mengenai kelewatan angkat sumpah perdana menteri di depan Agong selepas memenangi pilihan raya 9 Mei lepas dan isu sekitar pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara, Dr Mahathir berkata masalah seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita kena akur kepada undang-undang. Kita nak kembali kepada ‘kedaulatan undang-undang’. Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka akan menimbulkan kemarahan,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, dalam kalangan raja-raja Melayu sendiri sedar akan isu berbangkit dan kelewatan diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri.