Wan Azizah mahu ramalan bencana baru ditambah baik

Dr Wan Azizah berkata perancangan senario perlu untuk menghadapi kemungkinan yang di luar jangkaan di masa hadapan.

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu meningkatkan keupayaan meramal bencana-bencana baru yang mungkin dihadapi negara bagi membuat persediaan perlu, kata Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata fenomena perubahan iklim yang berlaku hari ini harus diteliti dengan mendalam.

“Kita mungkin akan menghadapi bencana-bencana baru seperti kemarau panjang dan juga taufan. Masalah-masalah ini jarang berlaku di negara kita dan kita harus meneliti dari sekarang persediaan yang diperlukan.

“Kita perlu melakukan perancangan senario untuk menghadapi kemungkinan yang di luar jangkaan di masa hadapan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan diberikan taklimat tentang agensi itu.