Zakir Naik, Dr M bertembung di Putrajaya

Zakir Naik diiringi pengawal peribadi dan dikerumuni peminat sebelum pertembungan dengan Dr Mahathir.

PUTRAJAYA: Penceramah kontroversi yang melarikan diri dari pihak berkuasa India hari ini bertembung dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Putrjaya hari ini selepas solat Jumaat.

Naik, yang diiringi pegawal peribadinya dan dikerumuni peminat tersendiri, meluru ke arah perdana menteri dan mereka dilihat bersalaman.

“Assalammualaikum, Tun,” kata Naik dan mereka sempat berbual ringkas.

Seorang petugas masjid berkata pertembungan ini merupakan pertemuan pertama mereka di masjid ini “selepas pilihan raya”.

Dr Mahathir singgah bersolat Jumaat di Masjid Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini.

Naik, yang dikehendaki pihak berkuasa India dalam siasatan ke atas ekstremisme dan pengubahan wang, menetap di negara ini sebagai pemastautin tetap.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) antara pihak yang membantah tindakan kerajaan memberi perlindungan kepada Naik.

Naik menafikan tuduhan terhadapnya.