Badan pemikir sambut baik menteri sedia kaji monopoli Pharmaniaga

PETALING JAYA: Badan pemikir yang prihatin dengan isu kesihatan awam mengalu-alukan jaminan Putrajaya untuk mengkaji semula proses perolehan penjagaan kesihatan awam, susulan kritikan ke atas dasar kerajaan dulu yang membenarkan konsesi hanya diberi kepada gergasi farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Berhad.

Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata ia menyambut baik Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengakui kewujudan “mekanisme rundingan terus yang kabur” dalam perjanjian konsesi, mengatakan ia bertentangan dengan amalan terbaik dalam sistem penyampaian penjagaan kesihatan.

“Kita bersetuju dengan pendiriannya yang mahu keadaan sekarang diubah bagi memastikan sistem yang adil dan saksama kepada semua melalui persaingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ini akan memastikan pesakit terus diberi akses terbaik kepada ubat-ubat yang boleh menyelamatkan nyawa dan menambah baik ketersediaan ubat-ubatan dan rawatan terkini,” tambahnya.

Pharmaniaga mempunyai konsesi 10 tahun untuk membeli, menyimpan, membekalkan dan mengagihkan ubat-ubatan berjenama dan generik yang diluluskan dan produk perubatan kepada hospital dan klinik kerajaan dan pejabat kesihatan daerah di seluruh negara, yang akan tamat tahun ini.

Galen berkata mereka menyokong seruan Dzulkefly yang mahukan rangka kerja rantaian bekalan dan perolehan ubat-ubatan yang “kompetitif, bertanggungjawab dan telus”.

Dzulkefly berkata satu pastukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mengkaji amalan perolehan.

Beliau berkata kementerian sedang mengkaji keseluruhan rantaian bekalan meliputi ekonomi, permintaan dan penawaran dalam usaha memastikan ketelusan, penjimatan kos dan keberkesanan ketersediaan bekalan ubat-ubat dan barangan habis guna.

Beliau berkata satu mekanisme yang lebih adil dan saksama untuk semua pembekal dan pengeluar perlu untuk memastikan ubat-ubatan yang lebih murah untuk rakyat.

Galen sebelum ini menggesa kementerian mengkaji semula peranan Pharmaniaga, mengatakan syarikat milik kerajaan itu pada dasarnya bertindak sebagai orang tengah.

“Sudah sampai masanya kementerian berurusan terus dengan syarikat farmaseutikal, bukannya bergantung kepada orang tengah,” katanya sambil menambah ini dapat menjimat berjuta ringgit.

Galen hari ini berkata pasukan petugas khas itu akan satu langkah besar ke arah memastikan penjagaan kesihatan yang mudah didapati dan murah berterusan.

Ia berkata peranan Pharmaniaga dalam perolehan dan pembekalan bahan-bahan di sektor kesihatan awam dinyatakan dalam pelbagai laporan kaji selidik pasaran dan dokumen kerajaan.

Ini termasuk laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertajuk “Market Review on Priority Sector under Competition Act 2010 – Pharmaceutical Sector” yang dikeluarkan pada 27 Disember tahun lepas.

Kementerian tubuh pasukan kaji pembelian produk farmaseutikal