Bekas pegawai Najib mahu bertanding tanpa politik wang

Hizatul Isham berkata Umno 72 tahun dulu hanya berbekalkan idea bernas dan semangat juang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dirinya akan bertanding pada pemilihan Umno 30 Jun ini tanpa politik wang, sebagai tanda komitmen kepada pengukuhan Umno di era kerajaan Pakatan Harapan.

Hizatul Isham Abdul Jalil menyertai pemilihan akan datang atas platform “idea dan semangat juang” dan menawarkan pengalaman hampir 20 tahun dalam kerajaan, korporat, politik dan NGO kepada rakan-rakan seperjuangan.

“Jika berikan sokongan kepada saya, dan dengan sokongan ini saya menang maka kita sama-sama boleh membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai idea baik dan semangat juang boleh maju dalam hirarki parti.

“Ini petanda Umno masih boleh diselamatkan dan boleh kembali pada perjuangan asal ketika penubuhan parti 72 tahun dahulu dengan hanya berbekalkan idea bernas dan semangat juang yang jitu,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Isham berkata Umno perlu menjadi pembangkang yang kuat dan berani memperjuangkan hak bangsa di “saat orang lain memperjuangkan hak mereka dan mempertikaikan hak kita”.

Namun Umno tidak mungkin boleh mengalahkan Pakatan Harapan dengan wang ringgit.

“Untuk mengukuhkan Umno kita perlu 2 perkara penting. Pertamanya, idea dan hujah yang bernas dalam membawa isu permasalahan rakyat. Kedua, semangat juang yang kental.

“Jika kita bergantung kepada sumber kewangan untuk menang maka kita tidak akan berjaya menewaskan mereka kini. Jika wang menguasai parti, maka parti kita akan menjadi korup dan lemah, serta tidak bertahan lama,” katanya.