Wan Agyl tawar diri bertanding ketua pemuda Umno

Susulan kekalahan dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, terdapat desakan daripada semua peringkat mahukan perubahan parti secara holistik.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara (AKULN) Wan Agyl Wan Hassan hari ini menawarkan diri untuk bertanding sebagai ketua pergerakan pemuda Umno pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.

Wan Agyl menerusi surat terbuka kepada perwakilan pemuda Umno berkata beliau berbuat demikian untuk terus memperjuangkan serta memulihkan kepercayaan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sebagai pengerusi AKULN ke-4 sejak penubuhannya pada 2000, saya amat menyedari kelemahan reputasi Umno pada pandangan masyarakat hari ini.

“Sama ada perkara berbangkit itu mempunyai asas kebenaran ataupun fitnah semata-mata, ia tetap menjejaskan pendirian kita pada Umno. Ia semua tiada erti jika kita masih tidak mempunyai sokongan rakyat,” katanya dalam surat terbuka itu, hari ini.

Jelas beliau, susulan kekalahan dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, terdapat desakan daripada semua peringkat yang mahukan perubahan parti secara holistik.

“Saya sendiri turut mahukan perubahan demi kejayaan Umno seperti sahabat semua. Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada pemimpin Umno akar umbi dan peringkat tertinggi masih mahukan rentak lama dengan cara lama.

“Mereka juga masih mengamalkan kronisme dalam pendekatan politik ataupun dikatakan ‘extreme partisanship’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sekarang adalah masa paling sesuai untuk parti itu bangkit semula.

“Kami juga sudah muak dengan amalan ‘partisanship’ yang tidak memberi faedah melainkan memecah-belahkan kita kepada kelompok hanya untuk menjaga kepentingan mereka.”

“Nyatakan juga pada mereka, kita sudah benci pada korupsi, politik wang dan keangkuhan sesetengah pihak yang menggadaikan perjuangan asal demi kepentingan di dunia,” katanya.