Beri peruntukan sama rata kepada PH, pembangkang, kata Charles

Charles Santiago berkata masa depan Malaysia sepatutnya mengenai idea, dasar dan tindakan yang menyuburkan demokrasi dan menjaga kepentingan rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata peruntukan sama rata mesti disediakan untuk Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang.

Charles mengulas isu kerajaan pimpinan PH memberikan RM500,000 kepada wakil rakyat PH dan hanya RM100,000 kepada pembangkang.

“Jika mahukan demokrasi berkembang maju, kita perlukan pembangkang yang cekap dan kuat untuk mengimbangi pemerintah. Rakyat akan menerima manfaatnya dan ia mempromosikan kepentingan rakyat.

“Masa depan Malaysia baru sepatutnya mengenai idea, dasar dan tindakan yang menyuburkan demokrasi dan menjaga kepentingan rakyat. Ini hanya boleh berlaku dengan adanya kerajaan yang prihatin dan pembangkang yang kritis.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian pula berkata peruntukan itu satu permulaan yang baik walaupun tidak sama rata, memandangkan sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat sebarang peruntukan.

“Apa yang saya faham ialah peruntukan ini bukan untuk pembangunan tetapi untuk membantu Ahli Parlimen menjaga pusat khidmat dan menyediakan bantuan kecil.”

Baru berkata perkembangan ini tidak bermakna pembangunan di kawasan pembangkang akan diketepikan kerana dia percaya peruntukan Ahli Parlimen itu terasing daripada rancangan pembangunan kerajaan.

Beliau berkata ini tidak mungkin berlaku di zaman Barisan Nasional apabila Ahli Parlimen diberi peruntukan tahunan khas RM5 juta dalam bentuk dana pembangunan untuk menjalankan projek.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula berkata peruntukan RM100,000 untuk Ahli Parlimen pembangkang itu adil kerana mereka tidak terikat dengan peraturan PH.

“Kalau mereka mahu wang lagi, mereka boleh berbincang dengan kami. Kami bukan macam BN yang tidak mahu berbincang. Mereka boleh bentang kertas kerja dan cadangan memohon peruntukan tambahan.”

Beliau menambah jika mana-mana NGO di kawasan pembangkang perlukan peruntukan, mereka boleh melangkaui Ahli Parlimen masing-masing dan berbincang terus dengan PH.

Terdahulu, sebuah NGO pro-reformasi, Engage, tidak berpuas hati dengan peruntukan tidak sama rata itu.

Pengerusi Thomas Fann mengakui peruntukan dana untuk pembangkang itu satu penambahbaikan berbanding sebelum ini, ketika kerajaan BN tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, beliau berkata: “Bukankah sepatutnya semua Ahli Parlimen diberi layanan sama rata dan terhormat sesuai dengan kedudukan mereka, tanpa mengira parti politik masing-masing? Hakikatnya mereka dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing untuk mewakili mereka.”

Fann berkata PH dalam janji ke-16 manifestonya berikrar untuk menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen, berdasarkan formula yang telus bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab kawasan masing-masing dan menjalankan pusat khidmat.