Kes rasuah bekas exco dedah sejauh mana kuasa kerajaan PH Johor

Bekas exco, Abdul Latif Bandi (tengah) didakwa bersama anaknya dan seorang lagi lelaki. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kes bekas exco perumahan Johor yang didakwa dengan 33 pertuduhan rasuah hartanah lebih RM35 juta hanyalah sebahagian kecil daripada masalah lebih besar, dakwa seorang sumber kanan dalam Umno Johor.

Ini susulan kecurigaan yang timbul berhubung peranan lelaki ke-3 yang didakwa bersama Datuk Abdul Latif Bandi dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim.

Dalam keterangan saksi kepada penyiasat rasuah tahun lalu, dinyatakan perunding hartanah, Amir Sharifuddin Abdul Raub didakwa terbabit dalam pengubahan wang, berbanding kecurigaan awal beliau ialah “pemberi” dalam kes rasuah itu.

Sumber berkata, Amir “berterus-terang” dalam keterangannya, tetapi FMT tidak dapat mengesahkan perkara itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melakukan siasatan ke atas Latif, Fauzan dan Amir.

Katanya, pertuduhan asal ke atas Amir ialah dia mungkin berperanan sebagai penghantar “timbunan wang tunai” kepada pemain berkuasa yang boleh membuat keputusan di negeri itu.

Tetapi, sumber itu berkata, ia adalah “proses rantaian pelik” digunakan seorang pegawai kanan anti-rasuah yang dipertikaikan.

Katanya, sejak itu, pegawai terbabit meletak jawatan dan memilih tidak berunding dengan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Sebaliknya, beliau memintas beberapa peringkat untuk menyerahkannya kepada pihak yang kami tidak akan beritahu anda,” katanya kepada FMT tanpa mendedahkan lebih banyak butiran apabila didesak.

Sumber itu memberitahu FMT yang tidak lama selepas itu, dokumen dikaitkan dengan siasatan ke atas Latif, termasuk keterangan saksi oleh Amir dibocorkan di internet.

Beberapa hari kemudian, Amir melalui peguamnya berkata, keterangan saksinya itu tidak sama dengan dokumen diberikan kepada peguam Latif kerana banyak halaman yang tertinggal dan ada dokumen yang tidak diketahui Amir serta peguamnya.

Selepas itu, satu cubaan oleh Adun Senai ketika itu, Wong Shu Qi membangkitkan perkara itu di Dewan Undangan Negeri Johor, tetapi tidak berhasil.

Sumber itu berkata, kerajaan baru Johor pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan bahagian itu dalam kes berkenaan jika ia bertujuan menghentikan campur tangan “daripada tangan ghaib” dalam urusan pentadbiran negeri.

“Inilah campur tangan sama yang menyebabkan kerajaan negeri terdahulu keletihan, sehingga satu tahap mereka sanggup kehilangan negeri daripada dipersalahkan atas sesuatu yang mereka tiada kuasa mengawalnya.”

Sumber itu berkata, dalam hal ini, Peguam Negara baru, Tommy Thomas perlu berpegang kepada komitmennya terhadap agenda pembaharuan.

“Adakah beliau berani membawa pembaharuan yang diperlukan sistem kehakiman dan perundangan dengan mencadangkan kepada kerajaan PH dalam Malaysia Baru, ahli politik atau sesiapa sahaja tidak boleh mengatasi undang-undang?

“Sejauh mana kerajaan PH ini berani membawa pembaharuan? Sebesar mana keberanian kerajaan PH dan peguam negara?” soal sumber itu.

“Sehingga ini selesai, kita tidak boleh kata pembaharuan baru sudah dicapai.”