Pekerja Bank Negara dipecat minta bantuan PM kembalikan kerja

Jaringan Rakyat Tertindas dan sekumpulan ahli PSM berkumpul di luar Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum pemecatan Y Kohlia hari ini. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Seorang bekas kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) meminta bantuan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerjanya selepas mendakwa beliau dipecat kerana memakai baju anti-GST (cukai barang dan perkhidmatan) dalam perhimpunan Hari Pekerja pada 2016.

Y Kohlia, 43, yang berkhidmat untuk bank pusat itu selama 12 tahun, dipecat pada Julai 2017 tanpa sebarang notis awal.

Satu siasatan dalaman dijalankan pada Mei dan Jun 2017, di mana beliau juga didakwa menulis 2 kenyataan media menyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Bekas pengurus Galeri Seni dan Muzium BNM itu menafikan semua tuduhan ke atasnya.

Beliau yang ditemani badan bukan kerajaan, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan beberapa ahli PSM, termasuk Setiausaha Agungnya, A Sivarajan, tampil di Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum hari ini.

Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu hampir 40 minit di luar pejabat kerana mendakwa kakitangan tidak pasti jika mereka perlu menerima memorandum itu.

“Kita minta mereka keluar ambil memorandum, tetapi mereka takut, tak biasa dan sebagainya dan kita nak ambil gambar di dalam pun mereka tak benarkan…mungkin mereka tak ada pengalaman menerima memorandum,” kata Ahli Jawatankuasa PSM, S Arutchelvan.

Katanya, beliau dan wakil lain menjelaskan situasi itu dengan tenang kepada kakitangan terbabit dan seorang kakitangan akhirnya menerima memorandum itu.