Putrajaya akan kurang pinjaman tanpa jejas hubungan baik China

Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak percaya pelaburan langsung asing untuk pembangunan negara perlu membawa masuk warga asing dan membenarkan mereka menetap di Malaysia. (Gambar Reuters)

TOKYO: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tetap menjalinkan hubungan baik dengan China, namun enggan berhutang dengan negara itu.

Beliau menegaskan kerajaan sebelumnya meminjam sejumlah wang untuk projek besar dan satu-satunya negara yang sanggup meminjamkan wang banyak ialah China.

Beliau berkata, tiada siapa yang peduli sama ada Malaysia mampu membayar pinjaman itu atau tidak.

“Oleh itu, kita perlu mencari jalan dan cara untuk mengurangkan pinjaman itu serta menjalin hubungan sedia ada dengan China sebagai rakan perdagangan yang baik,” kata Dr Mahathir pada sesi dialog anjuran Japan National Press Club di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Jepun, menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sebuah hotel terkemuka di ibu negara Jepun.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, secara umumnya, kerajaan tidak percaya pelaburan langsung asing untuk pembangunan negara perlu melibatkan warga asing yang dibawa masuk dan menetap di Malaysia.

“Mereka (pemaju) boleh melaksanakan pembangunan, tetapi kita tidak akan membenarkan warga asing menetap di negara kita.”

Beliau berkata, banyak negara mengamalkan langkah sama.

“Amerika Syarikat sedang membina dinding di sempadan Mexico, mereka mahu memelihara negara itu hanya untuk rakyatnya sendiri dan begitu juga dengan negara lain,” kata perdana menteri yang menjelaskan pendirian Malaysia berhubung perkara itu.