Mendidik rasa bersyukur di bulan Ramadan

Bulan Ramadan bulan penuh keberkatan untuk umat Islam dan ibadah puasa menjadikan kita lebih bersyukur dengan segala pemberian daripada Allah Yang Maha Esa selepas seharian menahan lapar dan dahaga.

Sebenarnya sebagai hamba Allah, kita seharusnya sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan-Nya. Kita harus ingat perkara ini, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi selagi kita masih diberikan nafas untuk hidup di muka bumi ini. Kita perlu juga melahirkan rasa syukur dengan pemberian nikmat kesejahteraan hidup, ahli keluarga, sahabat-handai dan apa sahaja yang ada di sekeliling kita.

Kebanyakan kita mesti ada menyimpan banyak kenangan manis semasa kecil. Masih ingat jika ada jiran atau saudara beri kita walaupun sebiji gula-gula, emak akan bertanya, “Cakap tak terima kasih?” Mengucapkan terima kasih juga kepada orang yang menghulurkan bantuan adalah salah satu peraturan adab.

Memang tidak dinafikan dalam kehidupan hari ini, ada yang semakin kurang beradab dan lebih mementingkan diri sendiri sehinggakan sukar sekali untuk melahirkan ucapan terima kasih.

Ucapan terima kasih bukan sahaja penting diucapkan oleh orang yang menerima pertolongan tetapi juga yang menghulurkan bantuan. Meskipun ada yang mungkin menganggap ia satu perkara yang remeh tetapi ia juga penunjuk utama sikap yang beradab itu dihargai.

Orang yang tidak lokek menghulurkan bantuan itu tinggi jasanya bila kita kesusahan, memberi kita makanan apabila kita kelaparan, menjaga kita apabila kita sakit dan baktinya dikenang sepanjang hayat.

Bayangkan seseorang yang memberi anda pakaian serta kemudahan pengangkutan untuk perjalanan anda. Bayangkan juga orang itu memberi ubat dan memanggil doktor untuk merawat penyakit anda di samping menyediakan makanan yang lazat. Bayangkan semuanya ini bukan untuk beberapa hari tetapi untuk sepanjang hayat anda.

Bagaimana untuk melahirkan rasa terima kasih kepada orang yang begitu baik hati membantu anda sedemikian rupa? Sekarang tanya pada diri sendiri segala macam nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Allah Yang Maha Berkuasa mengingatkan hamba-Nya di dalam Al Quran betapa banyaknya nikmat yang diberikan kepada kita:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nahl, 18)

Semua jenis makanan yang kita makan serta tanaman yang menghasilkan makanan, matahari yang memberi cahaya kehidupan serta air hujan dan pelbagai lagi yang ada di muka bumi ini untuk kelangsungan hidup kita adalah nikmat yang datang daripada Allah SWT. Bukankah kita harus terus bersyukur kepada Allah SWT kerana begitu banyak limpahan pemberian nikmat-Nya itu.

Sebagai balasan kepada semua yang diberikan itu, Allah SWT hanya meminta satu sahaja agar kita secara ikhlas menunjukkan rasa sayang kita kepada-Nya.

“Dan Dialah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daging yang segar (ikan) dan kamu mengeluarkan daripada lautan itu perniagaan yang kamu pakai dan kamu melihat bahtera belayar padanya supaya kamu mencari (keuntungan) daripada kurniaan-Nya dan supaya kamu bersyukur. (Surah an-Nahl, 14)

Rasa syukur adalah juga pemberian paling hebat daripada Allah SWT. Lagi banyak kita menzahirkan rasa syukur kepada-Nya, bertambah-tambahlah nikmati yang Allah berikan untuk kita.

Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kami bersyukur, Kami pasti akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. ” (Surah Ibrahim, 7)

Sepanjang bulan Ramadan ini, dengan menjalani ibadah puasa, menyediakan makanan berbuka puasa untuk keluarga dan orang Islam yang lain, menunaikan solat tarawih secara berjemaah, Allah SWT memberkati hamba-nya dengan Rahmat dan Rahim-Nya dan semoga kita juga terhindar daripada bisikan serta hasutan syaitan.

Sesungguhnya Ramadan adalah bulan penuh kemuliaan yang menyatukan hati umat Islam serta memperkukuhkan lagi ikatan silaturrahim. Semoga kita dapat bertemu lagi Ramadan pada tahun-tahun akan datang.

(Adnan Oktar, yang lebih dikenali dengan nama pena Harun Yahya, adalah pemimpin spiritual Turki yang berpengaruh selain pembentuk pendapat dengan menghasilkan 300 buah buku yang diterjemah ke dalam 73 bahasa dan dibaca oleh berjuta-juta orang, membawa pengaruh besar kepada orang Islam dan bukan di seluruh dunia.)