Nazri Aziz sokong Zahid, Annuar sebagai presiden, timbalan

Nazri tidak akan bertanding mana-mana jawatan peringkat pusat.

PETALING JAYA: Umno Padang Rengas menyokong gandingan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden dan timbalan presiden.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata juga menyokong Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai naib presiden.

Ditanya apakah dia akan menawarkan dirinya untuk mana-mana jawatan dalam Umno pasca pilihan raya 9 Mei lepas, Nazri tidak akan bertanding apa-apa jawatan peringkat pusat.

“Saya sudah tidak bertanding sejak tahun 2000. Saya tidak ada hajat bertanding sebaliknya hanya mahu membantu Umno,” katanya.

Pemilihan Umno, yang tertangguh sejak 3 tahun lalu, akan diadakan pada 30 Jun ini. Pemilihan kali ini bakal menampilkan barisan kepimpinan yang akan berperanan sebagai pembangkang di peringkat nasional.

Umno merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 54 kerusi Parlimen.

Selain dari Zahid yang disahkan akan bertanding jawatan presiden, nama lain turut disebut seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mereka akan menyertai pertandingan untuk kerusi nombor 1 parti itu.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, hanya 2 calon setakat ini iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan dan Ketua Penerangan Annuar Musa.

Pemangku Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan tidak akan bertanding.

Umno meminda Perlembagaan pada 2009 yang membuka jalan kepada pemilihan langsung oleh ahli-ahlinya di akar umbi.

Pindaan itu menghapuskan syarat kuota diperlukan calon yang mahu bertanding jawatan dalam Umno dan tidak lagi memerlukan pencalonan daripada bahagian.

Pencalonan dibuka sejak 1 Jun lepas dan akan ditutup pada 17 Jun 5.00 petang.