Umno sedia kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak

Annuar Musa berkata, bagi memperjuangkan keperluan dan nasib penduduk Sarawak, Umno sedia menjalin kerjasama dengan kepimpinan GPS.

KUALA LUMPUR: Umno akan terus menjalin hubungan baik dengan 4 parti politik Sarawak yang meninggalkan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata bagi memperjuangkan keperluan dan nasib penduduk Sarawak, Umno bersedia menjalin kerjasama dengan kepimpinan GPS seperti yang pernah wujud sebelum ini.

“Mereka bukan sertai Pakatan Harapan, tetapi membentuk gabungan mereka sendiri yang boleh menjalin kerjasama dengan kerajaan pusat.

“Gabungan ini juga dilihat cuba menjaga kepentingan Sarawak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, tindakan kepimpinan 4 parti itu yang menjadi tunjang kepada gabungan itu hingga menyaksikan BN Sarawak terbubar sememangnya diduga dan Umno perlu menghormati keputusan mereka meninggalkan perjuangan bersama BN.

Ditanya sama ada Umno akan melebarkan sayap dengan membuka cawangan di Sarawak berikutan perkembangan terbaru itu, Annuar berkata, tiada keperluan berbuat begitu setakat ini.

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abang Johari Openg hari ini mengumumkan PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebulat suara meninggalkan BN.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik saat ini pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Keputusan PRU14 menyaksikan BN Sarawak menguasai 19 kerusi Parlimen yang disumbang PBB dengan 13 kerusi, PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1) daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.