Peguam cabar Zamihan dedah kelayakan sebagai ‘pakar keganasan’

Faizal Rahman berkata Zamihan Mat Zin memiliki pemikiran radikal yang perlu di beri pemulihan dari sudut pemikiran dan akidah.

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili 5 waris tahanan Sosma, Faizal Rahman mempertikaikan kelayakan Zamihan Mat Zin yang bertindak sebagai pemulih tahanan terbabit.

Beliau juga mencabar Zamihan mendedahkan secara terperinci kelayakan akademik sehingga mendapat gelaran “pakar keganasan”.

“Anda bertindak sebagai kaunselor agama tetapi dalam masa yang sama anda juga bertindak sebagai saksi pakar di dalam perbicaraan Sosma.

“Saya mencabar anda mendedahkan secara terperinci kelayakan akademik hingga mendapat gelaran pakar keganasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Zamihan yang juga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan mengeluarkan kenyataan lucah mengaitkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Ia susulan Faizal berkata siasatan segera perlu dilakukan terhadap Zamihan setelah 5 laporan polis mendakwanya mengeluarkan tuduhan tidak berasas.

Zamihan dikatakan bersedia bersemuka dengan peguam terbabit dan pemimpin yang dikaitkan dalam ucapannya itu.

Menurut Faizal, beliau juga mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan justifikasi bagi pelantikan Zamihan sebagai pakar keganasan.

“Andalah sebenarnya manusia yang memiliki pemikiran radikal yang perlu di beri pemulihan dari sudut pemikiran dan akidah. Kerana sifat anda amat bertentangan dengan seseorang yang pakar di dalam bidangnya.

“Seseorang yang mendakwa dirinya pakar akan begitu sensitif, amat berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya melabel orang lain sebagai pengganas,” katanya.

Tambahnya, Zamihan sewajarnya berhenti menggunakan istilah “Ahli Sunnah Wal Jamaah” dalam isu dan agenda peribadi yang dibawanya.

“Dalam hal ini, semua kes anak guam saya adalah terhadap anda, diri peribadi anda. Tidak ada kena mengena dengan Muslim lain atau fahaman mana-mana Muslim dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jangan ‘spin’ jauh sangat,” katanya.

November tahun lepas, bekas menteri dalam negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan Zamihan dengan alasan penceramah kontroversi itu aset penting dan pakar dalam memulihkan tahanan yang menyokong kegiatan militan IS.

“Ustaz Zamihan merupakan salah seorang pakar pemulihan ini. Mengikut rekod yang saya perolehi, kejayaan beliau untuk melakukan pemulihan akidah terhadap orang Islam yang lakukan keganasan atau melakukan keganasan berat ini cukup berjaya.

“Ertinya beliau adalah aset untuk memulihkan akidah, apatah lagi kembalikan kumpulan itu untuk ikut jalan yang benar dari segi agama,” katanya.

Nafi ucapan lucah, Zamihan sedia jumpa Nurul Izzah, ‘Abang’ Mat Sabu

Laporan bongkar ucapan lucah Zamihan terhadap Mat Sabu, Nurul Izzah

Zahid pertahan Zamihan pakar pulih akidah pengganas