Waspada Gabungan Parti Sarawak, penganalisis beritahu PH

Penganalisis, Awang Azman Pawi berkata Gabungan Parti Sarawak boleh berpaling tadah kepada PH demi kepentingan mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik mengingatkan Pakatan Harapan (PH) berwaspada dengan 4 parti komponen Sarawak yang sepakat meninggalkan Barisan Nasional kerana Umno juga tidak lagi mengharapkan kesetiaan parti tersebut.

Prof Madya Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpandangan 4 parti itu membuat langkah politik yang oportunis untuk menjaga kepentingan masing-masing ketika ini.

“Untuk kepentingan rakyat? Ini lebih kepada menjaga kedudukan 4 parti itu daripada serangan PH pada pilihan raya negeri 2021 ini.

“Tiba-tiba mereka meninggalkan BN ketika BN benar-benar perlukan sokongan padu. Kenapa tidak keluar BN sebelum pilihan raya umum, tapi baru nak bersama PH selepas menang?”

“Adakah PH harapkan apabila mereka menyokong PH, maka mereka juga akan berubah seperti PH? Sukar juga, seperti ular salin kulit, isi tetap sama tanpa reformasi struktur dan kepimpinan.”

“PH harus berhati-hati dengan 4 parti itu. Mereka boleh berpaling tadah lagi,” katanya.

Awang Azman menambah langkah itu paling memberi kesan kepada Umno, yang dilihat sebagai parti peneraju dalam BN, kerana 4 parti berkenaan dianggap setia dan deposit tetap.

Beliau menjangkan parti BN di Sabah juga akan mengikut langkah parti di Sarawak yang akan meninggalkan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP di Tanah Melayu.

“Mereka keluar BN agar dapat menyelesaikan hal Petronas dan Perjanjian Malaysia 1963, namun pelik kerana hal ini pun mereka kurang dapat diselesaikan bersama BN. Kenapa BN Sarawak selama ini tak mampu selesaikan hal ini selepas berpuluh tahun?

“Jadi ini agak pelik dan mengapa saya katakan keputusan ini lebih kepada kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata sentimen dalam kalangan warga luar bandar di Sarawak juga mula beralih kepada PH, satu lagi sebab mengapa 4 parti berkenaan meninggalkan BN.

Awang Azman berkata sejak kemenangan PH di Putrajaya, warga luar bandar sudah berani bercakap tentang PH dan beliau percaya ini akan mendorong parti PH Sarawak sebenar akan bertanding di kawasan 4 parti berkenaan.

“Inilah yang menjadi kebimbangan 4 parti komponen ini,” katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) sepakat meninggal gabungan itu untuk membentuk pakatan baru dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Peluang Umno masuk Sarawak

Sementara itu, Kamarul Zaman Yusoff berkata Umno kini tiada pilihan selain bertapak di Sarawak untuk membina semula kekuatan BN.

Beliau berkata dengan penarikan diri parti tunjang BN Sarawak, PBB menyebabkan Umno tidak lagi mempunyai rakan di negeri itu dan tidak boleh mengharapkan kesetiaan mereka di masa akan datang.

“Ini merupakan waktu terbaik untuk Umno masuk ke Sarawak, sebab Umno tak boleh nak pegang kesetiaan PBB, kerana tak boleh jamin mereka akan kekal sehidup semati dalam BN.

“Jadi, Umno perlu mencari jalan untuk memastikan kepentingan BN akan lebih terjaga kerana kalau tak, kepada siapa lagi nak diharapkan?” katanya.

Kamarul berkata sebelum ini memang ada usaha untuk membawa Umno ke Sarawak oleh bekas menteri pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha tetapi dihalang PBB.

Beliau berkata jika Umno mahu melebarkan sayap ke Sarawak, parti itu perlu mengubah perjuangannya daripada kepentingan Melayu dan Islam kepada perjuangan yang senada dengan rakyat negeri itu.

“Perkara itu perlu dibincang dalam Perhimpunan Agung Umno nanti. Mereka perlu mengambil kira kedudukan BN dan Sarawak serta keperluan Umno melebarkan sayapnya.

“Mereka tak boleh terlalu bersifat kemelayuan dan keislaman. Mereka kena fikir dengan lebih serius untuk menjadikan Umno lebih menarik kepada Bumiputera bukan Melayu dan bukan Islam, termasuk menjadikan Umno parti berbilang kaum,” katanya.

Beliau menambah Umno tidak mungkin dapat memenangi Putrajaya semula jika parti itu dan BN hanya tertumpu kepada Tanah Melayu semata-mata, dan meluaskan fokusnya kepada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/12/pbb-dan-3-parti-di-sarawak-keluar-bn/