Sambut Aidilfitri di luar negara aliran baru rakyat Malaysia

Menurut Airasia, 5 laluan antarabangsa paling utama bagi Hari Raya melalui AirAsia X ialah Kuala Lumpur-Taipei, Kuala Lumpur-Busan, Kuala Lumpur-Delhi, Kuala Lumpur-Perth dan Kuala Lumpur-Jeju. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Walaupun ringgit mengalami penyusutan berbanding mata wang asing namun, rakyat Malaysia dilihat mencetuskan aliran baharu – menyambut Aidilfitri di luar negara.

Tradisi lazim seluruh anggota keluarga berkumpul meraikan Lebaran di rumah ibu bapa berubah secara perlahan-lahan kepada menyambutnya bersama-sama di destinasi percutian impian mereka sekeluarga.

Memecahkan tradisi itu bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Ishraf Khairuddin, 34, akan meraikan Aidilfitri kali ini di Pulau Jeju, Korea Selatan bersama-sama keluarganya memandangkan harga tiket penerbangan yang murah.

“Ibu dan isteri saya peminat tegar Korea dan mereka selalu memasang impian untuk melawat Jeju.

“Oleh kerana harga tiket murah, saya membeli 5 tiket penerbangan untuk kami semua termasuk seorang anak perempuan berusia 7 tahun. Ia akan menjadi pengalaman bersama-sama yang berbeza kali ini,” katanya.

Walaupun kadar tukaran asing menjadikan perkara lain mahal namun bagi Mohd Ishraf ia sesuatu yang berbaloi.

Menurut Airasia, 5 laluan antarabangsa paling utama bagi Hari Raya melalui AirAsia X ialah Kuala Lumpur-Taipei, Kuala Lumpur-Busan, Kuala Lumpur-Delhi, Kuala Lumpur-Perth dan Kuala Lumpur-Jeju.

Sejak beberapa tahun ini, ringgit susut secara berperingkat berbanding won Korea, daripada purata 321.89 won bagi setiap ringgit pada 2014 kepada 269.23 won setakat 8 Jun, 2018.

Berbanding dolar Taiwan, ringgit turun daripada NT$9.2 pada 2014 kepada NT$7.48 bagi setiap ringgit setakat ini, manakala berbanding dolar Australia, ringgit berada pada AU$0.33 daripada AU$0.35 pada 2014.

Ini menunjukkan walaupun ringgit mengalami penurunan berbanding mata wang asing, keinginan orang ramai mengembara ke luar negara tidak pudar selagi harga tambang penerbangan masih murah.

Sementara itu, AirAsia, dalam jawapan e-mel berkata pihaknya menawarkan promosi perjalanan Raya dari 4 Jun hingga 11 Jun tahun lepas untuk tempoh perjalanan ditetapkan dari 15 Jan hingga 28 Ogos, 2018.

Purata penumpang harian 50,000 orang dijangka berlepas daripada klia2 sepanjang musim perayaan ini bagi perjalanan domestik dan antarabangsa.