Santiago gesa kaji semula sistem tender perubatan kerajaan

Charles Santiago berkata pendedahan FMT menunjukkan harga mungkin sengaja dinaikkan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan mesti menyiasat pendedahan terbaru mengenai perbekalan ubat-ubatan dalam sistem kesihatan kebangsaan dan mengkaji semula proses perolehannya, kata Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang mewakili DAP.

Beliau berkata, kerajaan mesti menyiasat dakwaan syarikat dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan lepas menguasai tender perbekalan ubat-ubatan bernilai berbilion ringgit.

Santiago, yang lantang bercakap berkaitan isu harga ubat-ubatan mahal, berkata proses perolehan kerajaan mesti dikaji semula sekiranya siasatan mendapati pendedahan FMT terbukti benar.

Satu dokumen 12 halaman daripada pemberi maklumat memperincikan bagaimana dari tahun 2013 ke 2016, 20 syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik penting, termasuk bekas menteri dalam kelompok kepimpinan tertinggi Umno, berperanan sebagai “ejen tender” bagi mendapatkan kontrak bernilai RM3.7 bilion.

“Ini isu besar. Pada waktu rakyat menuntut harga ubat-ubatan lebih rendah, dakwaan sebegini menunjukkan harga sengaja dikekalkan tinggi oleh syarikat gergasi, ahli politik dan bekas pegawai kerajaan yang terlibat menguasai kontrak mewah perbekalan kerajaan.

“Jika ini merupakan amalan sebelum ini, maka ia sama sekali tidak boleh diterima dan diteruskan pada era Pakatan Harapan. Jika dakwaan ini benar, kajian semula menyeluruh dan segera mesti dilakukan ke atas proses perolehan kerajaan atas kepentingan rakyat.

Beliau berkata, oleh sebab isu itu kini terdedah kepada umum, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mestilah menyiasatnya dan dapatkan dokumen perlu daripada pihak berkaitan.

“Kita mesti lihat semula budaya kontrak kerajaan yang diperolehi melalui kumpulan berkepentingan dan berpengaruh. Terlalu ramai orang menderita kerana tidak mampu membeli ubat, tetapi ada pihak mendapat keuntungan daripadanya. Ini tidak betul.”

Semalam FMT melaporkan dokumen pemberi maklumat mendakwa syarikat farmaseutikal antarabangsa menggunakan “ejen” tender tempatan bagi memanipulasi proses tender kerajaan. Ejen berkenaan dibayar jumlah komisen tertentu berdasarkan setiap tender dimenangi, dan memperoleh untung bersih tanpa melakukan apa-apa kegiatan pemasaran, logistik atau pengagihan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefli Ahmad berkata kerajaan merancang mengkaji semula proses perolehan dalam sistem kesihatan awam negara.