Universiti siasat timbalan dekan ciplak tesis PhD

Universiti Malaysia Kelantan (UMK). (Gambar laman web UMK)

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan selepas seorang timbalan dekannya didapati menciplak karya orang lain dalam tesis ijazah doktor falsafahnya (PhD).

Naib Canselor UMK, Datuk Husaini Omar berkata jawatankuasa diketuai seorang profesor kanan.

“Jawatankuasa itu sedang mendapatkan butir-butir. Selepas Hari Raya, mereka akan bentangkan pada saya dan ia mengambil masa untuk mereka mendapatkan semua maklumat,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, FMT melaporkan seorang bekas pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menciplak karya drama terapi Eropah “bulat-bulat” dalam tesis PhD beliau, diterima bekerja di UMK sebelum dilantik sebagai timbalan dekan.

Nusra Fedeli dari Sabah berkata, beberapa aduan dihantar ke pejabat Naib Canselor UMK, Datuk Mortaza Mohamed pada 2015 mengenainya, tetapi tidak mendapat respons.

UMK memberikan masa selama sebulan untuk jawatankuasa berkenaan untuk melakukan siasatan, tetapi tidak menggantung tugas timbalan dekan itu.

UMK: Timbalan dekan ciplak tesis PhD mungkin dipecat