Bekerja di hari raya untuk lupakan duka kematian anak

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

KUALA LUMPUR: Kematian anak dalam kebakaran yang meragut nyawa murid-murid sebuah sekolah tahfiz 9 bulan lalu sama sekali mengubah Nur Azizan Abd Razak.

Nur Azizan merindui anaknya hingga terbayang-bayangkan arwah.

Dia akan bekerja dan terus bekerja untuk melupakan duka kehilangan Mohd Taufiq Hidayat, 16, dalam hidupnya.

“Saya tak fikir mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini. Saya pun tak ambil cuti raya,” katanya kepada FMT.

Aidilfitri tahun ini, yang pertama tanpa anak ke-2 di sisi, hanya meluruhkan perasaan Azizan.

Sepanjang Ramadan, bulan di mana orang Islam tekun menzahirkan kesabaran, Azizan terkenang anaknya menjamah makanan buka puasa di sampingnya.

Azizan seterusnya menceritakan makanan kegemaran Taufiq. Arwah paling suka masakannya.

Telur masak kicap – permintaan terakhir Taufiq sebelum meninggal dunia.

“Tahun ini nak pergi sembahyang di surau selalu teringat-ingat solat terawih dengan dia,” kata Azizan.

Nur Azizan dan Taufiq bersolat terawih di surau ini.

Surau terletak hanya 2km dari rumahnya dan di situ bapa dan anak beribadah bersama dan meluangkan masa.

Surau ini juga bersebelahan sekolah tahfiz di mana anaknya meninggal dunia.

“Setiap kali solat di surau itu saya akan nampak bayang-bayang dia,” kata Azizan.

“Bila dia sudah tidak ada…saya nak pergi solat di surau itu juga berat hati.”

Dia meminta majikannya, sebuah hotel terkemuka di ibu negara, supaya membenarkannya bekerja di hari raya.

“Saya nak cuba lupakan kesedihan ini.”

Api, api!

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat mula disedari sekitar 5.30 pagi ketika orang pergi bersolat subuh di surau berdekatan.

Dalam kejadian yang berlaku 14 September 2017, seorang saksi memberitahu pemberita, dia terdengar suara anak-anak tahfiz menjerit “Panas, panas! Api, api!”

Seramai 21 pelajar dan 2 guru maut. Pihak berkuasa dilapor menemui mayat-mayat yang rentung dan bertindih antara satu sama lain.

Sekolah itu hanya ada satu pintu keluar-masuk jadi mangsa terperangkap di tingkat atas yang dimamah api.

Pihak berkuasa juga mendapati pusat tahfiz itu beroperasi tanpa sijil kelayakan menduduki, tanpa kelulusan pelan mekanikal dan kejuruteraan, tanpa pemeriksaan bomba.

Dalam kes ini, 2 remaja, berusia 16 tahun, sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Selepas kejadian, menteri pada masa itu berkata pihak sekolah mungkin tidak akan dikenakan tindakan disebabkan penderitaan yang dialami mereka ketika itu.

Hukuman setimpal

Azizan berharap mahkamah yang mengadili kes anaknya dan mangsa kebakaran lain memberi hukuman setimpal kepada pelaku terlibat.

Beliau juga berharap semua remaja terlibat dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak atau sekolah tahfiz supaya mereka mendapat didikan agama.

“Jika suspek yang ditangkap terlibat dalam kejadian kebakaran itu dimasukkan ke sekolah tahfiz mereka boleh mengenali tuhan dan belajar sesuatu untuk insafi kesalahan lalu,” katanya.