Kulasegaran mahu jumpa ketua polis negara cari anak bongsu Indira

M Kulasegaran berkata, ada beberapa kesukaran mencari Muhammad Riduan Abdullah, tetapi beliau akan cuba melakukan yang terbaik. (Gambar Bernama)

IPOH: Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran akan menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk mempercepatkan proses pencarian anak bongsu M Indira Gandhi yang gagal diserahkan bekas suaminya.

Kulasegaran, bekas peguam wanita itu sudah memerintahkan Muhammad Riduan Abdullah menyerahkan Prasana Diksa kepada bekas isterinya itu, selain mahkamah memerintahkan lelaki itu dahulu dikenali sebagai K Pathmanathan, ditahan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi.

“Saya akan berjumpa Fuzi tidak lama lagi untuk melihat bagaimana saya boleh mempercepatkan proses mencari anak perempuan Indira.

“Terdapat beberapa kesukaran (mencari Riduan), tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya selepas menghadiri sambutan ulang tahun tokoh kemerdekaan Tun VT Sambanthan ke-99 hari ini.

Fuzi dalam kenyataannya pada 29 Januari lalu berkata, usaha mengesan dan menahan Riduan masih berterusan sejak 2014 berdasarkan waran pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangan bukan Islam perlu memberi persetujuan bagi penukaran agama anak di bawah umur kepada Islam.

Ketiga-tiga anak pasangan itu, iaitu 2 perempuan dan seorang lelaki kini berusia 9, 19 dan 20 tahun.

Riduan, 47, menukar agama 4 anaknya kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi, selepas dia memeluk Islam.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap 3 anaknya dan memerintahkan Riduan menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.