Menteri cadang flat lebih besar, tiada lagi rumah sarang burung

Zuraida Kamaruddin mencadangkan keluasan saiz Projek Perumahan Rakyat lebih besar, daripada 600 kaki persegi kepada 900 kaki persegi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dasar Komuniti Negara yang akan dilancarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ogos ini mungkin mencadangkan kediaman lebih besar kepada golongan miskin, kata menterinya, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, cadangan itu adalah menambah keluasan saiz Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 900 kaki persegi daripada 600 kaki persegi sebelum ini.

“Saya tidak mahu rumah PPR dan rumah untuk B40 ini konsep duduk di rumah ibarat sangkar burung…kecil, jadi saya cadangkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) nanti rumah selesa yang lebih besar sikit,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Kumpulan B40 terdiri daripada isi rumah berpendapatan 40% terendah yang memperoleh RM3,000 ke bawah sebulan.

“Bilik, ruang tamu dan koridor mestilah selesa. Kemudahan yang lengkap seperti tempat riadah, surau, dewan, perpustakaan, semua ini kena lengkap untuk mereka supaya ada ruang untuk berekreasi dan rehatkan minda dalam kelompok sendiri tanpa perlu pergi jauh.

“Kita mahu mereka rasa selesa dengan persekitaran mereka dan komuniti akan sentiasa berkomunikasi dalam kelompok sendiri.”

Zuraida berkata, Dasar Komuniti Negara akan menjadi rujukan dalam menyelesaikan isu pembangunan komuniti setempat.

“Dasar Komuniti Negara ini akan menggariskan panduan, pelan tindakan dan menyenaraikan program-program yang perlu dilaksanakan jabatan dan agensi terlibat dalam usaha membudayakan komuniti setempat.”

Beliau berkata, dasar ini penting untuk membina sebuah negara maju yang berdasarkan mentaliti rakyat, cara mereka menguruskan hidup dan persekitaran yang akan melambangkan sesebuah negara itu progresif dan matang.

Katanya, langkah yang digariskan dalam dasar itu akan dilaksanakan bermula di kawasan perumahan di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, diikuti sektor dan agensi lain.