Pemilihan Umno: Elak perpecahan 1987 berulang, kata Zahid

Zahid Hamidi menasihatkan calon menjadikan pemilihan Umno untuk berdepan seteru politik di luar parti, bukannya bermusuhan sesama sendiri.

PETALING JAYA: Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabarnya bagi jawatan tertinggi membuktikan parti itu kini lebih demokratik dan semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu mengingatkan semua calon yang pemilihan parti pada 30 Jun ini tidak patut memecahbelahkan Umno seperti pada 1987, walaupun keterbukaan sudah kembali.

Beliau merujuk pemilihan Umno pada 1987 apabila Tengku Razaleigh mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden sehingga menyebabkan perpecahan dalam parti itu yang menyaksikan wujud “Team A” pro-Mahathir dan “Team B” pro-Razaleigh.

Tengku Razaleigh yang tewas dengan 43 undi kepada Dr Mahathir, membawa kes itu ke mahkamah menyebabkan Umno diharamkan.

Susulan itu, Dr Mahathir menubuhkan Umno Baru dan Tengku Razaleigh mewujudkan Semangat 46 sebelum membubarkan parti itu dan kembali ke pangkuan Umno pada 1996.

Zahid berkata, Umno perlu diperkukuhkan dengan semangat kerja berpasukan selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Beliau mengingatkan semua calon supaya menjadikan pemilihan parti untuk berdepan seteru politik di luar parti, bukannya untuk bermusuhan sesama sendiri.

“Keutamaan untuk menjaga jemaah Umno lebih penting daripada sesuatu jawatan yang ditandingi kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik.

“Tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri. Ianya hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah.

“Jangan jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini.”

Katanya, beliau berlapang dada dan bersedia menerima sesiapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan Umno yang kuat.