Penganalisis: Tabung Harapan mungkin sumbang kepada faedah bon 1MDB

Sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia mencecah RM74.47 juta sehingga 3 petang semalam.

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah yang dikutip Tabung Harapan Malaysia (THM) agak kecil berbanding jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, sumbangan itu mungkin digunakan untuk membayar hutang pada tarikh lebih awal.

Hutang negara melebihi RM1 trilion, manakala sumbangan kepada THM sebanyak RM74.47 juta sehingga 3 petang semalam.

Ketua Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon, berpendapat dana itu mungkin menyumbang kepada faedah bon 1MDB bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan September dan November tahun ini.

“Walaupun saiz dana agak kecil berbanding jumlah hutang yang besar, saya yakin ia akan dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang dan bukan untuk tujuan lain, memandangkan dana masyarakat itu digerakkan atas semangat patriotik sebagai tanda sokongan rakyat kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Fungsi sebenar THM dikritik sejak penubuhannya pada 30 Mei lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan dana masyarakat itu bertujuan mengurangkan hutang negara, dan diwujudkan sebagai respons kepada keprihatinan rakyat terhadap salah urus kerajaan Barisan Nasional.

Peck berkata, Malaysia bukanlah negara pertama yang melancarkan dana masyarakat di peringkat kebangsaan kerana Korea Selatan memulakan kempen pengumpulan dana sama semasa krisis kewangan Asia 1997/98 yang lebih dikenali krisis IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dalam kalangan penduduk tempatan.

Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya menetapkan garis masa atau sasaran mengutip dana itu sebagai panduan jelas untuk rakyat “menyelamatkan” negara, Peck berkata, ia hanyalah kempen patriotisme.

“Lebih-lebih lagi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyebut sebelum ini tidak ada had sumbangan,” katanya sambil menambah beliau percaya saiz dana akan terus berkembang seiring waktunya.

Lim dilaporkan berkata, hutang negara berjumlah RM1 trilion pada 31 Disember 2017, termasuk hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM686.8 bilion ditambah jaminan kerajaan RM199.1 bilion untuk membayar entiti yang tidak mampu melangsaikan hutang mereka.

Namun, menteri itu menegaskan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, sektor kewangan stabil, sektor perbankannya mempunyai modal tinggi dan terdapat mudah tunai mencukupi dalam pasaran.

Sementara itu, akaun dana masyarakat THM dengan akaun Maybank (A/C 566010626452) akan terus dibuka sehingga kerajaan berjaya mencapai sasaran besar.

Bagaimanapun, tiada jumlah tertentu dan garis masa ditetapkan setakat ini.

Lim memberi jaminan kerajaan akan menguruskan semua sumbangan secara sistematik dan telus, dengan dana yang dikumpul akan dikemas kini di laman web Kementerian Kewangan dan platform media sosialnya setiap hari, manakala penyumbang diberikan pengecualian cukai, termasuk syarikat.

Wang yang disumbangkan layak mendapat pengecualian cukai.