7 calon bersaing jawatan presiden Umno
Seramai 612 calon mahu bertanding jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan pucuk pimpinan Wanita, Pemuda serta Puteri.
PETALING JAYA: Tujuh calon akan bersaing untuk merebut jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti 30 Jun ini.
Ini adalah jumlah paling banyak bagi jawatan itu dalam sejarah parti dan pertama kali jawatan nombor satu itu dipertandingkan sejak 1987.
Bagaimanapun, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh enggan mendedahkan 7 nama itu dan hanya mengesahkan 3 calon yang sudah mengumumkan hasrat mereka sebelum ini.
Mereka ialah pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah, dan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang akan bertanding jawatan presiden.
Empat lagi calon untuk jawatan tertinggi itu tidak diketahui, tetapi yang pasti ialah calon itu perlu menjadi ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian sekurang-kurangnya 1 penggal.
Rauf berkata, senarai akhir calon yang layak bertanding pada pemilihan Umno akhir bulan ini akan diumumkan esok, selepas latar belakang mereka diperiksa dan disaring untuk status kebankrapan.
Ditanya sama ada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos layak bertanding jawatan ketua Pemuda kerana beliau melarikan diri daripada polis, Rauf tidak memberikan jawapan jelas dan hanya berkata Jamal belum didakwa.
Selepas pencalonan ditutup 5 petang tadi, ibu pejabat Umno menerima 612 borang pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan dalam Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan Wanita, Pemuda serta Puteri.
Jumlah pencalonan yang diterima untuk pelbagai jawatan:
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
* Presiden – 7
* Timbalan presiden – 3
* Naib presiden – 9
* Majlis Tertinggi – 121
* Ketua Pemuda – 9
* Naib ketua Pemuda – 9
* AJK Pemuda – 207
* Ketua Wanita – 4
* Naib ketua Wanita – 6
* AJK Wanita – 88
* Ketua Puteri – 4
* Naib ketua Puteri – 6
* AJK Puteri – 87