Blogger, peguam, wakil NGO antara 7 calon intai jawatan presiden Umno

Blogger Rahmat Azim (kiri) dan peguam Mohamed Iqbal Maricair antara mereka yang dipercayai menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan presiden Umno.

KUALA LUMPUR: Selain 3 pemimpin Umno yang dikenali ramai, 4 lagi calon terdiri daripada blogger, peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) turut mengintai jawatan presiden yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak, susulan kekalahan mengejut Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.

Menurut sumber, 4 calon tidak dikenali ramai itu ialah blogger Rahmat Azim Abdul Aziz yang menggunakan nama “Mat Umno”, Rosile Saat yang aktif dalam NGO pro-Umno, peguam Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof Musa @ Jamaluddin dari Umno Iskandar Puteri.

Jika semua 7 pencalonan itu disahkan, ia akan menjadi jumlah calon paling ramai merebut jawatan nombor satu itu dalam sejarah Umno dan juga pertama kali jawatan presiden dipertandingkan lebih 3 dekad lalu sejak perpecahan parti dalam pemilihan Umno 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah kalah tipis 43 undi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh enggan mendedahkan 7 nama itu, kecuali dan 3 calon yang sudah mengumumkan hasrat mereka sebelum ini, iaitu Tengku Razaleigh, pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Mereka yang mahu bertanding jawatan presiden, timbalan dan naib presiden serta Majlis Tertinggi perlu menjadi ahli Majlis Tertinggi atau ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian sekurang-kurangnya 1 penggal.

Sebanyak 612 pencalonan diterima untuk semua jawatan yang dipertandingkan dalam jawatan tinggi parti termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri.

Pemilihan Umno akan diadakan 30 Jun ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/17/7-calon-bersaing-jawatan-presiden-umno/