Imigresen: Najib, Rosmah ke Langkawi bercuti, bukan larikan diri

Najib (baju hijau) dan Rosmah berborak dengan pemimpin Umno tempatan yang menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarangsa Langkawi semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor cuba melarikan diri ke Thailand melalui Langkawi, ketika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia belum melengkapkan siasatan berkaitan 1MDB.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dipetik Malay Mail mengesahkan mereka masih berada dalam negara dan dilarang ke luar negara.

Katanya, ketibaan Najib dan Rosmah di Langkawi disahkan Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin dan mereka tinggal di Hotel St Regis.

Nawawi Ahmad (kiri) bersama pemimpin Umno Bahagian Langkawi menyambut ketibaan Najib di Langkawi semalam. (Gambar Facebook)

Beliau mengulas gambar Najib dan Rosmah menolak beberapa troli berisi bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad memberitahu Bernama Najib dan keluarga tiba di Langkawi kira-kira 8 malam Sabtu.

Katanya, beliau bersama pimpinan Umno Bahagian Langkawi lain menyambut ketibaan Najib dan Rosmah sebagai tanda sokongan moral kepada mereka sekeluarga.

Difahamkan, Najib dan Rosmah pergi bercuti selama 3 hari di Langkawi bersama 13 ahli keluarga.