Indira ucap terima kasih kepada Kulasegaran desak tahan bekas suami

M Indira Gandhi berkata, kali terakhir beliau nampak anak bongsunya ialah di mahkamah kira-kira 10 tahun lalu apabila beliau berusia 18 bulan. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Guru tadika, M Indira Gandhi mengucapkan terima kasih kepada bekas peguamnya, M Kulasegaran yang berjanji akan mendapatkan kembali anak bongsunya walaupun sibuk dengan tugas sebagai menteri sumber manusia.

Bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah membawa anak bongsu daripada 3 beradik itu, Prasana Diksa, yang ketika itu berusia 11 bulan darinya pada April 2009.

Kulasegaran yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat, pernah menjadi peguamnya dalam kes mengembalikan Prasana kepadanya. Beliau dilantik sebagai menteri bulan lalu, selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Semalam, Kulasegaran dilaporkan berkata, beliau akan menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak lama lagi untuk mempercepatkan proses pencarian Prasana dan penahanan Riduan.

“Walaupun menjadi menteri sibuk, Kulasegaran sering tanya tentang keadaan saya. Saya anggap beliau keluarga saya sendiri.

“Saya benar-benar gembira dan bersyukur beliau ada di sisi untuk bantu saya,” kata Indira kepada FMT semalam.

Katanya, Kulasegaran berjanji akan berjumpa polis tidak lama lagi untuk mempercepatkan perintah mahkamah bagi menahan Riduan dan pada masa masa mengembalikan Prasana kepadanya.

Beliau mempersoalkan jika tiada tindakan daripada polis dalam perkara itu sehingga kini boleh ditafsirkan sebagai penghinaan mahkamah kerana polis belum bertindak terhadap perintah mahkamah.

“Kenapa begitu sukar mencarinya?” soalnya merujuk Riduan yang dahulu dikenali sebagai K Pathmanathan dan memeluk Islam pada 11 Mac 2009 sebelum meninggalkan rumah 3 minggu kemudian bersama Prasana.

“Sudah 10 tahun. Dia bukannya pengganas. Dia ada pasport, dia mesti kerja di sesuatu tempat.

“Bukankah ini penghinaan mahkamah? Sebagai ibu terjejas, ketua polis negara tidak pernah hubungi saya langsung.

“Kali terakhir saya nampak anak perempuan saya di mahkamah kira-kira 10 tahun lalu. Beliau berusia 18 bulan ketika itu.”

Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu mengetepikan penukaran agama sebelah pihak 3 anak Indira kepada Islam, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Pada hari sama, Fuzi dilaporkan berkata, usaha mengesan dan menahan Riduan masih berterusan sejak 2014, berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pada 2 April 2009, Riduan menukar agama ketiga-tiga anaknya kepada Islam tanpa persetujuan dan pengetahuan Indira. Dia ke Mahkamah Syariah beberapa hari kemudian untuk memperoleh hak penjagaan ke atas 3 anaknya.

Kini, anak sulung Indira, Tevi Darsiny berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish, 20, cukup dewasa untuk menentukan agama sendiri. Bagaimanapun, Prasana masih hilang.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira hak penjagaan sepenuhnya ke atas 3 anaknya dan memerintahkan Riduan menyerahkan Prasana kepada ibunya.

Ia disusuli perintah Mahkamah Persekutuan pada 2016 untuk ketua polis negara menangkap Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi menyerahkan anak bongsu mereka kepada Indira.