Keluarga remaja ditimpa kerusi tak puas hati cara polis kendali kes

K Sathiasilan dan isterinya, MS Kasthuribai sedih mengenangkan nasib anaknya yang belum mendapat pembelaan sewajarnya.

PETALING JAYA: Ahli keluarga remaja maut ditimpa kerusi dicampak dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam, Januari lalu, tidak berpuas hati dengan cara polis mengendalikan kes itu.

Bapa mangsa, K Sathiasilan, 45, terkilan kerana 5 bulan berlalu dan kematian anaknya, S Sathiswaran masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya kerana tiada pendakwaan dilakukan.

Katanya, polis juga tidak memaklumkan sebarang maklumat atau perkembangan terkini berhubung kes itu.

“Kita masih menunggu, setiap bulan saya hubungi pegawai penyiasat yang menyiasat kes anak saya, tetapi sehingga ke hari ini masih tidak ada perkembangan, sebaliknya terus minta kami menunggu.

“Pegawai polis turut tidak memaklumkan perkembangan sebelum ini, sebaliknya kami mengetahuinya melalui laporan berita,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak berpuas hati, saya memang tidak puas hati dengan polis, asyik kita sahaja tanya apa sudah jadi dan asyik minta kita tunggu.”

Dalam kejadian 8.20 malam 15 Januari lalu, Sathiswaran, 15, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan sebuah kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas PPR Seri Pantai, mengenai kepalanya.

Ketika itu, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle di Petaling Jaya itu bersama ibunya, M S Kasthuribai, 45, baru pulang menziarahi bapa saudaranya yang kelainan upaya berhampiran rumah mereka.

Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan mengambil sampel DNA serta memanggil 43 orang untuk membantu siasatan.

Pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata, hasil laporan kimia berhubung kes itu membawa kepada penahanan suspek wanita berusia 23 tahun, tetapi tiada pengakuan daripada suspek yang kemudiannya diberikan jaminan bon.

Katanya, analisis tekanan suara (VSA) ke atas 5 individu disenarai pendek mendapati hasilnya negatif.

Tiada lagi bantuan selepas PRU14

Sathiasilan berkata, mereka menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pada minggu pertama kejadian.

Beliau berkata, keadaan sebaliknya berlaku selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan pembentukan kerajaan persekutuan baru.

“Ketika anak saya baru meninggal dunia, ramai NGO dan pemimpin Barisan Nasional datang, tetapi selepas pilihan raya, hanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sahaja yang datang.”

DBKL tidak tepati janji

Kasthuribai berkata, selepas tragedi itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjanji akan memberikan rumah baru kepada mereka secara percuma kerana ruang tamu dan bilik mereka dimasuki air setiap kali hujan.

MS Kasthuribai menangis kerana mendakwa ditipu DBKL yang tidak mengotakan janji memberi rumah baru percuma kepada mereka.

“Mereka suruh saya pilih rumah, kemudian mereka sendiri pilih dan beri rumah di tingkat 2 kepada saya.

“Apabila saya tanya bagaimana mahu ambil kunci, DBKL minta saya bayar api dan air terlebih dahulu. Tetapi, selepas keadaan reda, DBKL cakap tidak boleh berikan rumah secara percuma.”

Katanya, beliau diminta membayar sewa bulanan RM124 sebulan untuk rumah baru itu.

MS Kasthuribai menunjukkan barang mereka yang dibungkus untuk dipindahkan, tetapi tidak dapat berbuat demikian apabila DBKL memintanya membayar sewa bulanan RM124.

“Bila dapat kunci rumah pula, kita dapati bilik dan ruang tamu semuanya dimasuki air, bingkai tingkap diperbuat daripada kayu sudah reput dan rosak.”

Kenangan silam

Kasthuribai akan merindui kerenah Sathiswaran menjelang Ramadan.

“Masa puasa, saya mesti simpan RM100 untuk beli juadah di bazar Ramadan. Dia dan abangnya sering meminta saya belikan karipap dan pelbagai kuih.

“Tetapi, sekarang situasinya berbeza dan abangnya tidak lagi meminta sebarang makanan.”

Katanya, beliau dan suaminya masih tertekan serta sedih kerana perlu melalui tempat kejadian untuk balik ke rumah dan penduduk setempat yang ingin tahu perkembangan kes anaknya.

“Sehingga hari ini, kami masih lalui jalan sama ketika kejadian berlaku. Ramai orang tanya kami apa perkembangan kes ini, di dalam hati kami amat sedih.”