Laporan: Nazri sokong Zahid, Annuar tanding jawatan tertinggi

Zahid Hamidi bertanding untuk jawatan presiden dan Annuar Musa sebagai timbalan presiden.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno yang lantang, Datuk Seri Nazri Aziz menyokong pencalonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin parti itu dan mempertahankan tindakannya mendiamkan diri sejak bulan lalu selepas memangku jawatan presiden yang dikosongkan Datuk Seri Najib Razak.

Nazri dipetik Malay Mail sebagai berkata, beliau akan menyokong Zahid menjadi presiden Umno dan Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa sebagai timbalan presiden demi perpaduan, kelangsungan dan kestabilan parti.

Beliau mempertahankan Zahid yang berprofil rendah sejak menjadi pemangku presiden Umno pada 11 Mei kerana masih “terlalu awal” untuk Zahid melawan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, pelantikan anggota Kabinet belum selesai dan Parlimen juga belum bersidang, jadi adalah wajar untuk Zahir menunggu peluang baik muncul.

“Apa yang ada (untuk Zahid) serang?” soalnya ketika ditanya perbezaan antara Najib yang sering menyangkal kenyataan kerajaan di media sosial, khasnya mengenai kewangan kerajaan persekutuan.

Katanya, Najib memberi respons peribadi terhadap kenyataan kerajaan, khasnya oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Najib ialah menteri kewangan dan perdana menteri dalam pentadbiran lama dan berdepan siasatan berkaitan 1MDB.

“Beliau ada hak untuk mempertahankan diri kerana mereka yang berada dalam Umno tidak tahu kesnya. Jadi, beliau tidak boleh mengharapkan ahli parti melindunginya.”

Umno akan mengadakan pemilihan parti pada 30 Jun ini, yang pertama sejak lebih 3 tahun lalu dan pencalonan untuk semua jawatan Majlis Tertinggi ditutup hari ini.

Sebanyak 7 pencalonan diterima untuk jawatan presiden Umno, termasuk daripada Zahid, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Selain Annuar, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengumumkan pencalonannya sebagai timbalan presiden.