Azmin persembah nama MB baru kepada Sultan Selangor

2 wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan Azmin iaitu Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dan Adun Sungai Tua, Amiruddin Shari.

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengesahkan mempersembahkan satu nama daripada parti itu sebagai calon menteri besar Selangor baru kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Menteri Besar Selangor itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada nama calon menteri besar itu adalah dalam kalangan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sedia ada ataupun sebaliknya.

“Saya mempersembahkan (nama calon MB) kepada tuanku setelah berbincang dengan kepimpinan PKR…saya telah dapat pengesahan nama untuk dipersembahkan kepada tuanku untuk exco dan juga menteri besar.

“Nama (bakal calon MB) akan diketahui esok,” katanya secara ringkas selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor terpaksa melepaskan jawatan menteri besar yang disandangnya berikutan pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu dilantik sebagai menteri besar Selangor selepas PH berjaya mempertahankan negeri ini pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Azmin turut mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum itu.

2 wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dan Adun Sungai Tua, Amiruddin Shari.

Istana Selangor sebelum ini mengumumkan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baru dijadualkan esok di Istana Alam Shah, Klang.

Difahamkan majlis raptai penuh bagi upacara angkat sumpah itu akan berlangsung hari ini.