Bapa Altantuya temui peguam negara esok

Altantuya Shaariibuu ditembak 2 kali di kepala dan diletupkan dengan bahan letupan gred tentera pada 2006.

PETALING JAYA: Bapa Altantuya Shaaribuu berada di Malaysia untuk bertemu Peguam Negara Tommy Thomas dan membincangkan kemungkinan membuka semula siasatan ke atas pembunuhan warga Mongolia itu, lapor Channel NewsAsia.

Peguam kepada Shaaribuu Setev, Ramkarpal Singh mendedahkan anak guamnya akan bertemu Thomas esok. Ramkarpal juga sedang mengusahakan pertemuan antara Shaaribuu dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tujuan mesyuarat ialah membincangkan kemungkinan membuka semula siasatan ke atas kes pembunuhan Altantuya. Masih ada banyak yang kita belum tahu mengenai kes itu,” kata Ramkarpal lapor media itu.

“Kita tidak tahu siapa yang mengarahkan pembunuhannya. Mereka yang mengarahkan pembunuhan itu juga bersalah dalam pembunuhan itu dan mesti diheret ke muka pengadilan.

“Kita harap satu siasatan baru akan mendedahkan siapa dalang pembunuhannya. Inilah yang diingini bapanya supaya keluarganya boleh tinggalkan perkara ini dan maju ke depan.”

Altantuya, 28, dibunuh antara 19-20 Oktober 2006 oleh 2 anggota polis.

Warga Mongolia itu ditembak 2 kali di kepala sebelum diletupkan dengan bahan letupan gred tentera di hutan. Motif jenayah itu dan sumber arahan kepada anggota polis terlibat masih belum diketahui.

Pembunuhnya, Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar, adalah anggota unit komando polis yang menyediakan kawalan keselamatan peribadi kepada pimpinan negara.

Mereka disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati. Sirul bagaimanapun melarikan diri ke Australia sebelum keputusan mahkamah terakhir dan ditahan di Sydney sejak hampir 2 tahun lepas.

Pembunuhan Altantuya menarik perhatian kerana pembabitan Abdul Razak Baginda, bekas pembantu kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Razak, yang didakwa bersama Sirul dan Azilah, dibebaskan tanpa pembelaan dipanggil. Dia juga mengakui mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia itu.

Kes itu dikaitkan dengan pembelian 2 kapal selam Perancis, urus niaga yang sedang disiasat di Perancis kerana dakwaan sogokan melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan Razak.

Bulan lepas Shaaribuu merayu kerajaan supaya membuka semula siasatan bagi mencari identiti orang yang mengarahkan pembunuhan itu.

Dalam suratnya kepada Ramkarpal, dia merasakan seseorang yang berkuasa mesti menyetujui jenayah itu.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lepas, Sirul sedia pulang ke Malaysia dan mendedahkan mereka yang dikatakan disebalik pembunuhan itu.

Tetapi Sirul, dalam temubual dengan The Guardian, menolak cadangan Ramkarpal iaitu menukar hukuman matinya kepada pemenjaraan seumur hidup.

Beliau juga mendakwa dia dipersalahkan dalam satu jenayah politik dan nafi pernah mengakui membunuh wanita Mongolia itu.