Kanak-kanak maut dikelar ibu kandung

Suspek ditahan sejurus kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan. (Gambar Fail)

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 7 bulan maut selepas lehernya dikelar ibu kandungnya di Felda Jengka, Maran, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP Othman Nayan berkata suspek berusia 31 tahun itu dipercayai mengelar anaknya di bilik tidur rumahnya pada 8.40 malam kerana mengalami halusinasi.

“Kejadian disedari bapa mangsa yang mendakwa menolak suspek apabila melihat dia mengelar leher mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 3 beradik dengan menggunakan pisau.

“Bapa mangsa membawanya ke Hospital Jengka, namun mangsa disahkan meninggal dunia menyebabkan pihak hospital memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya, hari ini.

Othman menambah suspek ditahan sejurus kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Katanya, polis mengambil keterangan bapa mangsa dan didapati suspek tidak pernah mendapatkan rawatan mental di mana-mana hospital sebelum ini.