Kontrak selenggara jalan anak syarikat Cahya Mata Sarawak disambung

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB), CMS Roads Sdn Bhd (CMSR), menerima kontrak sambungan selama setahun bernilai RM180 juta untuk pengurusan dan penyelenggaraan jangka panjang membabitkan jalan-jalan di Sarawak.

CMSR, anak syarikat milik penuh CMS Works Sdn Bhd, yang sebaliknya subsidiari CMSB, menandatangani kontrak penyelenggaraan jalan selama 15 tahun pada 2003 dengan kerajaan Sarawak untuk penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

CMSB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata kontrak itu dilanjutkan untuk tempoh 1 tahun dari 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019, lebih lama berbanding lanjutan 6 bulan yang diberikan oleh kerajaan negeri pada 4 Disember 2017 iaitu dari 1 Januari 2018 hingga 30 Jun 2018.

Kumpulan itu berkata sambungan tersebut merupakan langkah yang berhemat kerana ia membolehkan kerajaan negeri membangunkan satu strategi bagi kontrak pengurusan dan penyelenggaraan yang menyeluruh merangkumi jalan-jalan negeri yang meliputi kira-kira 30,000 kilometer di mana hanya 6,000 kilometer dikendalikan oleh CMSR di bawah kontrak sedia ada.

Pelanjutan kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan CMSB semasa tempoh kontrak, tambahnya.