Polis Kedah tahu aktiviti Najib di Langkawi

Najib dan Rosmah bercuti 3 hari di Langkawi bersama 13 ahli keluarga mereka. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Polis Kedah tahu Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga mereka bercuti di Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pegawai keselamatan turut bersama bekas perdana menteri itu dan keluarganya dalam percutian berkenaan.

“Kita tahu beliau bercuti di Langkawi, termasuk datang dengan keluarga beliau pun kita tahu. Kita juga dapat tahu beliau ada beriadah dengan bermain golf dan berjumpa kawan-kawan lama…orang Umno, termasuk bekas menteri besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah).

“Saya ambil tahu semua ini, sebab saya kena tahu apa berlaku dalam kawasan (jagaan) saya (Kedah),” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Zainal Abidin mengulas dakwaan dalam media sosial Najib dan Rosmah ingin melarikan diri melalui Langkawi ke Myanmar sebelum ke China dan seterusnya ke negara mentua anak perempuan mereka di Almaty, Kazakhstan setelah mereka dilihat membawa 30 beg.

Bekas perdana menteri itu yang masih dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB dan beberapa kes berkaitan, dilarang ke luar negara sejak Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Sehubungan itu, Zainal Abidin meminta orang ramai menghentikan spekulasi dan tuduhan melulu terhadap Najib dan Rosmah kerana penyebaran maklumat tidak tepat boleh mewujudkan suasana tegang.

Difahamkan, Najib dan isteri datang bersama 13 ahli keluarga mereka untuk bercuti 3 hari di pulau berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad ketika dihubungi Bernama kelmarin berkata, Najib dan keluarga tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira 8 malam Sabtu dan Nawawi bersama kepimpinan Umno bahagian itu turut menyambut bekas perdana menteri itu di lapangan terbang berkenaan.