4 lelaki misteri ceroboh rumah Jamal, dakwa tak dibayar gaji

Seorang daripada 4 lelaki misteri itu mendakwa ialah pengawal peribadi Jamal dan seorang lagi mendakwa Jamal tidak membayar gajinya.

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang mendakwa menyediakan perkhidmatan keselamatan di rumah Datuk Seri Jamal Yunos, membuat laporan polis mengatakan 4 lelaki misteri menceroboh kediaman majikannya dan melarikan beberapa barangan berharga, lapor China Press.

Dalam laporan polis yang dibuat semalam, lelaki itu berkata orang bawahannya memaklumkan seorang daripada 4 lelaki misteri itu mendakwa ialah pengawal peribadi Jamal, manakala seorang lagi mendakwa mereka berbuat demikian kerana tidak dibayar gaji.

Lelaki yang membuat laporan polis itu mendakwa dirinya ialah pengurus syarikat keselamatan dan kes berkenaan berlaku pada 8.30 pagi 17 Jun lalu.

Difahamkan, 4 lelaki misteri itu menceroboh rumah Jamal dan membawa satu beg besar baju, 3 telefon bimbit, 20 cermin mata dan beg tangan wanita berjenama serta 2 decoder kamera litar tertutup (CCTV).

Jumlah kerugian masih tidak diketahui.

Lelaki itu dipetik China Press sebagai berkata, laporan polis itu bertujuan dijadikan rekod dan memudahkan Jamal mendapatkan pampasan daripada syarikat insurans.

Difahamkan, unit forensik polis Selangor menemui 5 cap jari dan disebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pernah ke rumah Jamal, keadaan masih berselerak.

Akhbar itu melaporkan polis tidak dapat menjalankan siasatan menggunakan CCTV kerana decoder sudah tiada.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Jamal, 48, dilapor menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, di mana beliau menerima rawatan sakit belakang, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi ikat jamin, selepas beliau didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Jamal selepas itu, tetapi Jamal menafikan beliau melarikan diri dari pihak berkuasa atau berada di luar negara, sebaliknya ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah selesai pada hari itu.

Sehingga kini, polis masih tidak dapat mengesan kedudukannya dan Jamal kemudian menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.