Ismail tak beritahu dia mahu keluar Umno, kata Shahidan

GEORGE TOWN: Ketua Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim tidak sedar adiknya, Ismail Kassim, akan meninggalkan parti yang dianggotainya selama 40 tahun.

Shahidan berkata Adun Tambung Tulang itu tidak memaklumkan dia mahu keluar Umno dan dia hanya mengetahui tentang perkara itu daripada orang lain dan media pagi tadi.

“Saya tak tahu. Tiada orang beritahu saya apa-apa. Dia tak hubungi saya atau sampaikan apa-apa kepada say.

“Saya tak terima apa-apa surat peletakan keahlian daripadanya,” katanya.

Ahli Parlimen Arau itu ditanya tentang tindakan adiknya keluar Umno dan mahu menyertai PPBM. Ismail dilapor keluar malam tadi atas alasan tidak lagi meyakini kepimpinan Umno dan BN.

Shahidan memberitahu dia sekarang sedang dirawat di hospital dan menceritakan kesukaran yang dihadapinya sekarang ini.

“Apa yang saya dengar ialah dari apa yang orang lain sampaikan kepada saya. Apa yang saya tahu saya baca dari media.

“Saya akan ulas perkara ini selepas bermesyuarat dengan jawatankuasa bahagian,” kata ketua Umno Arau ini.

Ismail antara calon untuk menteri besar Perlis tetapi Raja Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak memilihnya kerana tidak mahu seorang menteri besar yang menjadi boneka orang luar.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/20/adik-shahidan-tak-dialu-alukan-kata-ppbm-perlis/