Khairy mahu hapus budaya wala’ dalam parti

Khairy meminta ahli untuk melihat di mana Umno berada sekarang ini kerana dasar wala’.

KUALA LUMPUR: Calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin bertekad menghapuskan budaya wala’ dalam parti dengan memansuhkan usul yang menyekat ahli mencabar penyandang jawatan-jawatan tertinggi parti.

Beliau berkata langkah menangguhkan pemilihan parti, yang akan diadakan pada 30 Jun ini selepas 3 tahun tertunda, melunturkan semangat demokrasi dalam kalangan ahli.

Beliau memberita pemberita tekad itu akan menjadi sebahagian daripada manifesto pemilihannya kali ini, yang akan bertemu pemangku tugas-tugas presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan 4 calon lain.

“Usah lagi ada usul dan resolusi supaya presiden dan timbalan presiden atau mana-mana jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, kononnya atas dasar walak kepada institusi kepemimpinan Umno.

“Atas dasar itulah lihat sekarang ini di mana kita berada,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno, hari ini.

Jika terpilih sebagai presiden, Khairy juga memberi jaminan kebebasan suara ahli mengkritik kepimpinan parti akan dilindungi dan dipertahankan.

“Teguran dan kritikan terhadap pemimpin Umno boleh dibuat tanpa digantung dan dipecat. Suara akar umbi mesti mesti dilindungi untuk kita perkasa kepimpinan parti dan menjadikan Umno parti terbuka,” katanya.

Sementara itu, Khairy mahu menguatkan lagi penglibatan pemimpin-pemimpin Sabah dan Wanita dalam urusan tertinggi parti.

Beliau mencadangkan pertambahan 2 lagi jawatan naib presiden untuk tujuan itu bagi mewakili kepentingan Umno Sabah dan Wanita.