Peguam: Laporan polis jadi pemula siasatan kes Altantuya

Ramkarpal Singh bercakap kepada wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas Shaariibuu Setev membuat laporan hari ini.

KUALA LUMPUR: Laporan polis yang dibuat bapa warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini dijangka menjadi pemula siasatan semula ke atas pembunuhannya pada 2006.

Bercakap kepada wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Ramkarpal Singh yang juga peguam Shaariibuu Setev, berkata kes itu perlu dibuka semula kerana ada saksi yang tidak dipanggil memberi keterangan.

“(Deputi Superintendan) Musa Safri tentunya ialah saksi yang amat penting. Itu sesuatu yang perlu diambil kira polis. Kenapa pihak pendakwaan tidak memanggilnya dahulu? Ia adalah pengecualian ketara mengenai peranannya berkaitan isu motif yang sangat penting.”

Menurut pendakwaan, kata Ramkarpal, Musa memainkan peranan penting dan perlu dipanggil untuk menerangkan peranannya.

“Selepas laporan polis dibuat, keterangan Setev akan diambil, bersama orang lain yang polis akan soal berkaitan kes itu.”

Setev akan menemui Tun Dr Mahathir Mohamad di Jabatan Perdana Menteri pada 5 petang ini. Pertemuan itu dijangka mengambil masa kira-kira setengah jam.

Semalam, Setev berkata, beliau ingin tahu siapa yang mengarahkan anak perempuannya dibunuh 12 tahun lalu dan beliau berharap pihak berkuasa akan membuka semula kes itu bagi mencari kebenarannya.

Musa ialah bekas pengiring Datuk Seri Najib Razak yang tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan dahulu.

Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan keterangan Musa tidak dapat membantu dalam pembelaan anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang didapati bersalah membunuh Altantuya.

Dalam penghakiman setebal 88 muka surat, Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar berkata: “Ia (keterangan Musa) hanya berguna kepada Abdul Razak (Baginda). Ia hanya mengesahkan keterangan sepupu Altantuya dan rakannya yang beliau mempunyai hubungan dengan si mati.”

Sirul melarikan diri ke Australia selepas dijatuhi hukuman mati pada 2009 kerana membunuh Altantuya, dan kini dalam tahanan negara itu. Beliau sebelum ini mendakwa diarahkan “orang penting” untuk membunuh Altantuya pada 2006.

Kerajaan Australia enggan mengekstradisi beliau ke Malaysia kerana bertentangan dasar negara itu yang membantah hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat.

Azilah pula sedang menanti hukuman mati ke atasnya di Penjara Kajang, sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukuman itu kepada penjara seumur hidup.