Penganalisis: Khairy gopoh, sukar menang jawatan presiden Umno

Kamarul Zaman berkata, imej liberal Khairy mungkin menjadi liabiliti kepada Umno yang sebahagian besar ahlinya masih tertumpu di luar bandar dan berfikiran konservatif.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Khairy Jamaluddin sukar memenangi pertandingan 7 penjuru untuk jawatan presiden Umno kerana beliau gopoh dan pencabarnya lebih berpengalaman.

Kamarul Zaman Yusoff berkata, walaupun ramai yang teruja dengan kelulusan akademik, keterbukaan dan keremajaan Khairy, tetapi ada kelemahannya yang menyebabkan peluangnya tipis.

“Dalam banyak hal, Khairy kelihatan ‘overrate’ melebihi kemampuan sebenarnya, manakala apa yang dilihat sebagai kekuatan beliau boleh menjadi penyumbang kepada kekalahannya juga.

“Jika dikatakan beliau mempunyai kelebihan dari segi akademik kerana mempunyai ijazah dari universiti ternama dari luar negara, begitu juga dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Kalau beliau mahu dikatakan sebagai pemimpin yang tegas, beliau selaku ketua Pemuda Umno tidak pula bersuara lantang dalam menangani permasalahan yang wujud dalam kerajaan sebelum ini.

“Dalam Perhimpunan Agung Umno 2017, wakil Pemuda Umno yang diketuai beliaulah yang mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan,” katanya kepada FMT.

Khairy akan berdepan pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan veteran Umno, Tengku Razaleigh serta 4 calon lain yang kurang dikenali dalam pemilihan parti 30 Jun ini.

Empat calon itu adalah blogger Rahmat Azim Abdul Aziz yang menggunakan nama “Mat Umno”, Rosile Saat yang aktif dalam NGO pro-Umno, peguam Mohamed Iqbal Maricair dan Yusof Musa @ Jamaluddin dari Umno Iskandar Puteri.

Khairy pada mulanya menyuarakan hasrat bertanding jawatan naib presiden Umno, sebelum mengubah pendirian pada saat-saat akhir untuk mencabar jawatan nombor satu parti itu.

Razaleigh lebih layak

Kamarul berkata, antara Khairy, Razaleigh dan Zahid, Razaleigh lebih berkelayakan, berwibawa dan berpengalaman berdepan Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan ketika ini.

Beliau turut membandingkan prestasi Khairy ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan serta Pemuda Umno yang menyaksikan parti itu gagal menarik pengundi muda menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Imej Khairy selaku pemimpin kerajaan juga pernah tercalar ekoran kegagalan beliau memastikan tidak wujud penyelewengan dana kerajaan dalam kementeriannya dengan isu salah guna dana lebih RM100 juta.”

Katanya, imej liberal Khairy juga mungkin menjadi liabiliti kepada Umno yang sebahagian besar ahlinya masih tertumpu di luar bandar dan berfikiran konservatif.

“Khairy boleh muncul selaku presiden Umno, tetapi ini memerlukan masa kerana perubahan dalam pemikiran ahli Umno perlu dicambah dan tidak akan datang dalam sekelip mata.”

Khairy boleh menang jika bertanding jawatan naib presiden

Kamarul yakin Khairy akan menang dalam pemilihan parti akhir bulan ini jika beliau kekal dengan keputusan awal bertanding sebagai naib presiden, bukannya gopoh bertanding jawatan presiden dan berdepan pemimpin lebih kanan.

Beliau berkata, sokongan Dr Mahathir untuk Khairy menerajui Umno turut menimbulkan tanda tanya besar yang mungkin difikirkan sesetengah ahli sebagai muslihat.

“Saranan pihak musuh dipandang dengan penuh curiga kerana secara logiknya, pihak musuh sudah tentulah akan berusaha keras untuk memastikan Umno menjadi lebih lemah, bukannya lebih kuat.”

Pada 3 Jun lalu, Dr Mahathir berkata, Khairy adalah calon terbaik untuk menerajui Umno berikutan keadaan parti itu yang kini dilihat kucar-kacir sehingga tidak dapat menentukan hala tuju perjuangannya.

Khairy bagaimanapun dilaporkan berkata, Dr Mahathir hanya menyindirnya apabila memberi “sokongan” kepadanya menerajui Umno.

“Tun Mahathir selalu sarkastik, mungkin dia perli saya la,” katanya.

Peluang Annuar Musa menang jawatan timbalan presiden cerah

Kamarul berkata, keputusan Khairy bertanding jawatan presiden hanya mencerahkan peluang Tan Sri Annuar Musa memenangi jawatan timbalan presiden kerana undi ahli Umno yang sepatutnya memihak kepada Datuk Seri Mohamad Hasan berpecah.

“Menjadi tradisi dalam mana-mana parti sekalipun, pemegang jawatan presiden dan timbalan presiden tidak boleh datang dari negeri sama kerana ia boleh menimbulkan kejanggalan.

“Mohamad Hasan terlebih dulu menyatakan kesediaan untuk bertanding sebagai timbalan presiden, jadi tidak begitu wajar untuk Khairy melompat anak tangga melintasi Mohamad Hasan yang merupakan ketua beliau dalam Umno Negeri Sembilan.

“Bila ini berlaku, ahli Umno di seluruh negara terpaksa membahagikan undi antara Khairy dan Mohamad Hasan bagi memastikan wujud keseimbangan dalam kedudukan pimpinan tertinggi Umno dari sudut geografi.”

Hari ini, Mohamad dilaporkan berkata, beliau dan Khairy tidak bertanding sebagai satu pasukan dalam pemilihan Umno dan berharap ahli parti boleh menilai calon sebagai individu berdasarkan kebolehan mereka, bukannya hubungan sesama mereka.

Beliau bagaimanapun mengakui mungkin terdapat kecenderungan melihat beliau dan Khairy sebagai satu pasukan kerana mereka berdua dari Umno Bahagian Rembau. Beliau ialah ketua bahagian dan Khairy selaku timbalannya.

KJ dan saya bukan 1 pasukan, kata Mohamad Hasan

Khairy cabar Zahid, Ku Li rebut jawatan presiden Umno?

Ku Li calon presiden Umno lebih berwibawa