Zulkifli Zainal Abidin panglima baru angkatan tentera

Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkuat kuasa hari ini.

Majlis serah terima tugas antara Zulkifli dan Raja Mohamed Affandi yang bersara wajib disaksikan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Zulkifli, 59, pernah memegang jawatan panglima Tentera Darat pada 2011 sebelum dilantik Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2013.

Anak kelahiran Port Weld, Perak itu memulakan khidmatnya pada 30 Januari 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.

Zulkifli pernah menjadi jurulatih kanan di New Zealand Army Infantry School selama 2 tahun, di mana beliau bertanggungjawab mengajar pegawai dan anggota tentera New Zealand serta negara-negara Komanwel dalam pengajian senjata, taktik dan peperangan menentang insurgensi.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah dan jurulatih dalam pengajian pengurusan untuk pegawai tentera peringkat pertengahan di Institut Latihan dan Pengurusan Tentera Darat dari 1992 hingga 1993.