Hanya 5 calon layak rebut jawatan presiden Umno

Semua jawatan pimpinan tertinggi dan 3 sayap Umno akan dipertandingkan pada pemilihan parti 30 Jun ini.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan 2 calon tersingkir daripada pertandingan 7 penjuru untuk jawatan presiden Umno selepas pemeriksaan latar belakang dan tapisan Jabatan Insolvensi.

Lima calon yang layak bertanding jawatan presiden Umno ialah pemangku presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah, ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri).

Dua calon yang tersingkir ialah blogger bernama Rahmat Azim Abdul Aziz dan Rosile Saat (Umno Bangi).

Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa, selepas Mohamad Afnan Rizam Salim tidak layak bertanding.

Seorang calon naib presiden, Mohamad Sukri Roslan digugurkan menyebabkan hanya 7 calon yang akan bersaing untuk jawatan itu bertanding pada pemilihan Umno 30 Jun ini.

Semua calon untuk jawatan ketua Pemuda (9 calon), ketua Wanita (3 calon) dan ketua Puteri (2 calon) juga layak bertanding, termasuk Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang masih melarikan diri daripada polis.

Senarai akhir calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno 30 Jun ini hanya dimuktamadkan hari ini disebabkan beberapa faktor.

Wakil sekretariat pemilihan Umno memberitahu FMT, faktor itu ialah calon menarik diri selepas menyerahkan borang Ahad lalu dan proses penapisan akhir Jabatan Insolvensi ke atas calon yang ramai.

Senarai akhir calon sepatutnya diumumkan Isnin lalu, tetapi kemudiannya ditangguhkan sehingga semalam dan hanya diumumkan petang ini oleh Tengku Adnan dan dimuat naik ke laman web Umno Online.

Isnin lalu, Ketua Setiausaha di Ibu Pejabat Umno, Datuk Norazuwan Aziz dilaporkan berkata, senarai itu akan dimuktamadkan selepas semua calon berdaftar disaring mengikut kelayakan dalam perlembagaan parti dan Jabatan Insolvensi.

Katanya, ia mengambil masa kerana melibatkan kira-kira 25,000 calon termasuk mereka yang ingin bertanding di peringkat bahagian.

“Contohnya untuk bertanding ahli Majlis Tertinggi perlu pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian sekurang-kurangnya 1 penggal atau 3 tahun.”

Berikut senarai akhir calon bagi jawatan pimpinan tertinggi dan ketua sayap Umno:

Presiden

  • Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
  • Tengku Razaleigh Hamzah
  • Khairy Jamaluddin
  • Mohamed Iqbal Maricair
  • Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin

Timbalan Presiden

  • Tan Sri Annuar Musa
  • Datuk Seri Mohamad Hasan

Naib Presiden

  • Datuk Seri Ahmad Said
  • Datuk Seri Ismail Yaakob
  • Datuk Seri Johari Abdul Ghani
  • Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
  • Datuk Seri Mahdzir Khalid
  • Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
  • Sheikh Razali Sheikh Ahmad

Ketua Pemuda

  • – Datuk Seri Jamal Md Yunos
  • – Datuk Asyraf Wajdi Dusuki
  • – Datuk Khairul Azwan Harun
  • – Abdul Razak Yusof
  • – Imran Azhar Armin
  • – Wan Mohd Haslin Wan Hassan
  • – Mohd Norizat Mohd Johari
  • – Mohd Shahar Abdullah
  • – Syed Rosli Syed Harman

Ketua Wanita

  • Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman
  • Datuk Azizah Mohd Dun
  • Datuk Noraini Ahmad

Ketua Puteri

  • Datuk Zahida Zarik Khan
  • Nor Hazreena Mohamad Hashim

Senarai akhir calon pemilihan Umno tangguh lagi