Kerajaan BN Perlis masih kukuh tanpa Ismail, kata MB

Azlan yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis percaya tindakan Ismail itu dibuat atas pertimbangannya sendiri tanpa hasutan mana-mana pihak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Ismail Kassim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang meninggalkan Barisan Nasional (BN) tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Azlan berkata, BN masih mentadbir Perlis secara selesa kerana mempunyai majoriti dan menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kehilangan seorang Adun.

“Tidak ada isu, kita masih lagi mempunyai dan menguasai dewan dari segi majoriti walaupun kehilangan satu Adun, iaitu Ismail,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini Ismail dicalonkan sebagai menteri besar Perlis oleh pengerusi BN negeri itu sebelum ditolak Raja Perlis.

Ismail berkata, keputusan meninggalkan BN itu dibuat tanpa pengetahuan abangnya Datuk Seri Shahidan Kassim kerana beliau hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan BN.

“Secara rasminya saya sudah keluar Umno dan BN untuk menjadi wakil rakyat bebas dalam negeri ini. Saya bukan ‘puppet’ (boneka) dan dia (Shahidan) nak tahu pasal apa?

“Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu. Saya nak buktikan soal adik-beradik tak timbul dalam politik. Saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerimanya dengan lapang dada,” kata Ismail.

Azlan yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis percaya tindakan Ismail itu dibuat atas pertimbangannya sendiri tanpa hasutan mana-mana pihak.

“Saya yakin Ismail mempunyai pertimbangan tertentu yang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan BN untuk menjadi wakil rakyat bebas.

“Saya hormati keputusan yang dia dah buat untuk meninggalkan parti dan BN, kita menghormati keputusan itu,” katanya.

Ismail menyertai Umno sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting sebagai ketua Pemuda Umno negeri, ketua Pemuda Umno Bahagian Arau dan timbalan ketua Umno Bahagian Arau.

BN Perlis ketika ini mempunyai 9 Adun selepas Ismail meninggalkan parti, manakala PKR mempunyai 3 kerusi dan PAS 2.

 

Ismail tak beritahu dia mahu keluar Umno, kata Shahidan

Adik Shahidan keluar BN, mungkin sertai PPBM

Krisis MB Perlis: Shahidan ‘tidak tahu’ Azlan pilihan parti

Jelas Raja Perlis murka dengan 9 adun, kata MB baru